WARGANET tidak berpuas hati dengan cara untuk menebus tambang percuma selama sebulan bagi perkhidmatan pengangkutan awam kendalian RapidKL dan Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Lembah Klang yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.
Tambang percuma membabitkan perkhidmatan Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Bas (BRT), Monorel serta bas RapidKL dan KTM selama sebulan yang bermula pada 16 Jun itu diberikan sempena pembukaan rasmi MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu dan melibatkan subsidi sebanyak RM155 juta.
RapidKL menerusi kenyataan di Facebook baru-baru ini berkata, pemegang pas tanpa had bulanan My50 yang masih aktif pada 16 Jun akan diberikan 30 hari percuma untuk pembelian seterusnya apabila tempoh pas tamat.
Katanya, mereka yang membeli pas My50 pada 16 Jun mesti menebus perjalanan percuma 30 hari antara 23 hingga 25 Julai sahaja, iaitu selepas pas semasa tamat tempoh sepenuhnya.
Namun pengendali pengangkutan awam di Lembah Klang itu meminta pengguna menyimpan resit bagi tujuan pengesahan, sekiranya ingin menebus lanjutan tempoh pas.
“Simpan resit untuk pengesahan, tapi jangan bimbang jika resit tidak disimpan, kami akan bantu anda untuk menebus 30 hari percuma ini dengan sebaiknya,” tulis RapidKL.
Bagaimanapun, ruangan komen dibanjiri warganet yang mempertikaikan cara tebusan yang “kabur dan menyusahkan” dengan seorang pengguna Facebook, Misasagi Yuuya mempersoalkan cara tebusan perjalanan percuma yang disifatkannya tidak masuk akal.
“Perlu memuat turun aplikasi MyRapid Pulse untuk mengisi borang tinjauan lagi? Macam mana RapidKL tahu status kad Touch N Go saya untuk nikmati perjalanan percuma itu? Kenapa kami tidak boleh lengkapkan sentuhan masuk dan keluar kad pada setiap perjalanan tanpa tolakan kredit?” soalnya.
Max Lim pula mempersoalkan keperluan menyimpan resit untuk pengesahan sedangkan sistem terkini RapidKL boleh mengesan mana-mana individu yang mempunyai kad aktif.
“Mengapa masih perlu kemukakan resit sedangkan semua info telah tersedia dalam kad aktif?” soalnya.
Persoalkan perkara yang sama, Azrie Hery keliru dengan keperluan resit jika adanya sistem untuk mengesan pengguna My50 yang aktif.
“Nak tengok resit bagai buat apa, tengok dekat sistem masih aktif pada 16 Jun cukup lah,” katanya.
Selain itu, Pujut Swk pula mempersoalkan keperluan untuk memuatnaik aplikasi sedangkan sistem yang sedia ada sepatutnya memudahkan semua pengguna, namun sebaliknya.
“Dah ada rekod dalam sistem kan bagus muatnaik secara automatik, kena download aplikasi yang amat jarang dipakai, kreatif sangat menyusahkan orang,” keluhnya.
Keluhan juga diluahkan NaTasha Tasha, yang menghadapi kesukaran log masuk aplikasi MyPulse yang seolah tidak mesra pengguna.
“Kena mohon ke untuk dapat tambang percuma? Aplikasi MyPulse ini pun macam jem je. Dari tadi tak boleh log masuk,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.