Kerajaan tanggung AS$3 billion hutang 1MDB – Siti Zauyah

0
645

Kerajaan Malaysia terpaksa menanggung hutang berjumlah AS$3 bilion yang dipinjam syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2013 yang diluluskan melalui surat sokongan, ditandatangani Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan ketika itu.

Setiausaha Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari (BPKA) Kementerian Kewangan ketika itu, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa berkata, pihaknya tidak pernah menerima laporan daripada 1MDB berhubung ke mana wang itu dibelanjakan dan digunakan, menurut laporan BH Online.

Saksi ke-26 pendakwaan itu berkata, 1MDB gagal membuat bayaran seperti terma ditetapkan, menyebabkan kerajaan pada masa ini terpaksa menanggung bayaran balik hutang terbabit.

“Pinjaman AS$3 bilion itu adalah wang yang diperoleh daripada bon diterbitkan oleh anak syarikat 1MDB iaitu 1MDB Global Investment Ltd (1MDB GIL), untuk usaha sama 50:50 antara 1MDB dan Aabar Investment PJS (Aabar).

“BPKA bertanggungjawab untuk mendapatkan laporan daripada 1MDB, tetapi sepanjang bertugas di BPKA, saya tidak ada menerima apa-apa laporan daripada pihak pengurusan syarikat mengenai penggunaan dana berkenaan.

“Pihak 1MDB bertanggungjawab mengemukakan laporan pelaburan berdasarkan tujuan permohonan surat sokongan yang dikemukakan kepada MOF, namun 1MDB tidak ada mengemukakan apa-apa laporan,” katanya.

Siti Zauyah yang membacakan pernyataan saksinya berkata, beliau tidak pernah melihat dokumen perjanjian antara 1MDB dan Aabar seperti yang dimaklumkan dalam permohonan syarikat kerana laporan mengenai usaha sama tidak pernah dikemukakan kepada bahagiannya.

Beliau berkata, selain itu antara dokumen diminta pihaknya secara konsisten adalah laporan kewangan beraudit, tetapi 1MDB turut gagal mengemukakan dokumen berkenaan.

“Saya tidak dapat pastikan sama ada 1MDB mendapat kelulusan khas daripada YAB Menteri Kewangan (Najib) berhubung perjanjian usaha sama yang hendak mereka jalankan ini,” katanya

“Selepas pengeluaran surat sokongan kepada 1MDB pada 2013, Kementerian Kewangan tidak ada lagi mengeluarkan apa-apa jaminan kepada syarikat itu,” katanya.

Siti Zauyah memberikan keterangan terhadap Najib, 68, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here