Tanah runtuh: Pencawang TNB rosak, dua kenderaan dihempap pokok tumbang

0
442

Hujan lebat berterusan selama beberapa jam sejak petang dipercayai menjadi punca kejadian tanah runtuh di Jalan Tun Dr Ismail, Taman Bukit Sentosa di sini malam tadi yang turut menyebabkan kerosakan pada sebuah pencawang Tenaga Nasional Berhad.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban PGK II Jefri Uzus berkata sepasukan anggota dikerahkan ke tempat kejadian pada pukul 8.05 malam. 

“Pencawang tersebut mengalami kerosakan pada transformernya. Tanah runtuh itu turut menyebabkan pokok di kawasan sekitar tumbang dan menghempap dua kereta Mercedes Benz dan Volvo yang diletakkan berhampiran.

“Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dan penduduk sekitar dinasihatkan sentiasa berwaspada dan melaporkan kejadian tidak diingini kepada pihak berkuasa dengan segera,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian berasingan, Pegawai Operasi BBP Seremban 2 PGK II Harzizi Hasim memaklumkan sebuah bilik menggosok pakaian di asrama lelaki sebuah sekolah dekat sini mengalami kebakaran 40 peratus kira-kira pukul 2 pagi tadi.

Beliau berkata tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden berkenaan dan punca kejadian masih disiasat.– Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here