Ahmad Faizal mohon maaf

0
552

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memohon maaf atas kenyataan yang dikeluarkan yang mendakwa sokongan yang diberikan penyokong Harimau Malaya sebagai punca kekalahan kepada Bahrain dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2023.

Menerusi kenyataan yang dibuat dalam akaun Twitter peribadinya, Ahmad Faizal mengakui bahawa sokongan dan kehadiran penyokong adalah amat penting dalam menaikkan semangat juang pasukan bola sepak negara.

“Sorakan dan sokongan para penyokong sebagai pemain ke-12 amat penting dan amat dihargai… Ampun dan maaf atas kesilapan saya,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Faizal mendakwa sorakan daripada 63,000 penyokong Harimau Malaya menjadikan para pemain negara hilang fokus sehingga menyebabkan pasukan negara tumpas 2-1 kepada Bahrain.

“Sorakan sedemikian menyebabkan pemain hilang fokus sekali gus menyebabkan skuad kita terlepas peluang menjaringkan gol.

“Kalau saya yang berada di atas padang ketika itu pun yang mana orang ramai tiba-tiba menjerit (bersorak), fokus saya pun akan hilang sedikit,” katanya pada Isnin lepas.

Perkara itu jelas menyebabkan peminat bola sepak tanah air berasa kecewa akan kenyataan yang dikeluarkan apabila melihat sorakan dan sokongan yang diberikan adalah untuk meningkatkan semangat juang pasukan Harimau Malaya.

Selain itu, dalam kenyataan yang sama, beliau turut memohon agar mana-mana pihak untuk tidak menunding jari kepada penjaga gol kebangsaan, Mohd Farizal Marlias atas kekalahan yang dialami pasukan kebangsaan.

Dalam perlawanan itu, pasukan kebangsaan tewas 2-1 selepas Abdulla Yusuf Helal menyempurnakan penalti selepas Farizal Marlias menjatuhkan Ali Jaafar Madam pada minit ke-81 perlawanan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here