Lelaki didakwa rompak dua beranak guna playar

0
328

SEORANG lagi lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan merompak seorang wanita warga emas dan anak perempuannya dengan bersenjatakan playar di hadapan rumah dua beranak itu di Bandar Tun Razak, Cheras, Mac lepas.

Bagaimanapun, Rahmat Hidayat Taswir, 27, yang bekerja sendiri mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.

Rahmat Hidayat bersama dua rakannya yang telah dituduh lebih awal di mahkamah, didakwa merompak Shofiah Hamzah, 77, dan Nor Taibah Taazim, 34, pada 26 Mac lepas, mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Nilai barang kemas iaitu rantai leher dan gelang tangan milik dua beranak yang dirompak ketiga-tiga tertuduh dianggarkan bernilai RM20,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan Rahmat Hidayat diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Julai ini untuk sebutan kes.

Pada 28 April lepas, dua rakan tertuduh iaitu Muhammad Iqbal Ali Bakar, 34, dan Abu Mukhzim Badarul Sham, 29, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan sama.–Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here