[VIDEO] ‘Sekarang RM100, suku troli pun tak dapat’ – Tinjauan

0
575

KENAIKAN harga barangan menyebabkan kehidupan rakyat semakin tersepit ekoran kuasa membeli yang turut menurun.

Orang ramai yang ditemui SatuBerita di sebuah pasar raya di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, memberitahu mereka perlu berbelanja lebih untuk mendapatkan barangan yang sama sebelum ini.

Shahrul Bariah Ismail, 39, mengakui pelbagai barang keperluan mencatatkan harga yang semakin tinggi memberi kesukaran untuknya menampung perbelanjaan harian keluarga.

“Dulu kalau ada RM50 tu, kita boleh dapat beras, dapat ayam, dapat ikan, macam-macam lagi. Tapi, sekarang ni, kalau bawa RM300 pun, tak penuh troli.

“Kadang kita balik daripada pasar raya, tanya juga apa benda kita beli sampai RM300 ni? Padahal, hanya barang biasa je. Beras, gula dan minyak. Rasa macam tidak berbaloi.

“Hanya dapat dua beg plastik sahaja. Macam mana orang yang memang susah sangat tu, macam mana?,” luahnya.

Tambah ibu kepada empat orang anak itu, meskipun terdapat inisiatif kerajaan untuk meningkatkan gaji minimum, perkara itu bukanlah satu penyelesaian terhadap masalah ini.

Suaminya pula, Ihrzuri Abdul Karim, 37, berkata, sebagai pengguna dia tidak mempunyai pilihan selain terpaksa akur dengan masalah yang semakin meruncing itu.

“Sebagai pengguna tu memang terbebanlah kan. Tapi, nak buat macam mana? Nak tak nak kena beli juga, betul kan?

“Ni jelah yang mampu kita nak cakap. Satu hari tu, kalau berbelanja tu bawa RM100 tu macam bawak RM10 je,” katanya.

Seorang lagi pengunjung pasar raya tersebut, Nazril Nordin, 29, berkata, harga barang runcit seperti minyak masak melambung memberikan kesukaran kepadanya.

“Dahulu, kalau harga RM100 tu, kita boleh beli banyaklah, separuh daripada troli kita boleh dapat. Tetapi, sekarang ini, suku troli pun tak sampai rasanya dengan RM100 sekarang ni,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan harus bersikap agresif dalam mengawal kenaikan harga barang bagi membantu meredakan kesengsaraan rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here