TMJ ucap selamat tinggal kepada JDT

0
462

Oleh RAHIMI MOHAMAD

SETELAH hampir sedekad membawa kejayaan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membuat pengumuman mengejut apabila meninggalkan kelab bolasepak itu hari ini.

Tunku Mahkota Johor itu memaklumkan terpaksa berbuat demikian disebabkan faktor tanggungjawab serta komitmen lain yang perlu dilakukan baginda.

Pengumuman berkenaan dibuat pemilik Kelab Bolasepak JDT itu melalui satu hantaran di laman Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers sebentar tadi.

“Disebabkan tanggungjawab dan komitmen saya yang lain, saya telah mengambil keputusan untuk berundur dan menyerahkan urusan harian Kelab Bolasepak JDT kepada pengurusan tertinggi kelab.

“Saya doakan yang terbaik untuk kelab dan semua,” katanya dalam hantaran berkenaan.

Tunku Ismail membawa ‘semangat’ baharu kepada kelab bolasepak itu dan sukan berkenaan di Johor khususnya setelah mengambil alih pasukan sejak 2012.

Sepanjang tempoh hampir 10 tahun, pelbagai kejayaan demi kejayaan yang diraih pasukan Harimau Selatan itu dirangkul dengan mula memenangi gelaran Liga Super pada 2014.

Sejak itu, gelaran Liga Super sebagai perlawanan paling berprestij di Malaysia tidak pernah berpindah tangan apabila JDT muncul juara saban tahun bagi lapan musim berturut-turut.

Kejayaan JDT pada 2015 antara yang tidak boleh dilupakan ketika pasukan kendalian Mario Gomez ketika itu memenangi Piala AFC, sekali gus menjadi kelab pertama tanah air memenanginya.

Baru-baru ini, JDT sekali lagi mengukir nama di pentas antarabangsa selepas muncul pasukan pertama di Malaysia layak ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-juara Asia (ACL). – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here