Persidangan Agung Tahunan Bersatu 12 hingga 13 November ini

0
439

PERSIDANGAN Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) 2022 bakal diadakan pada 12 hingga 13 November ini, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Beliau berkata, persidangan cawangan parti pula akan diadakan dari 19 Ogos hingga 18 September depan, persidangan bahagian pada 8 hingga 9 Oktober manakala perhimpunan agung sayap akan dilangsungkan pada 10 hingga 11 November.

Menurut beliau, perkara itu dipersetujui pada Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada Rabu yang dipengerusikan presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Mesyuarat MPT juga memutuskan urusan pemilihan parti di peringkat cawangan akan ditangguhkan ke suatu tarikh tidak melebihi 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan.

“MPT juga sebulat suara bersetuju melantik Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad sebagai anggota MPT yang baharu,” kata Hamzah dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, beliau berkata Bersatu mahu kerajaan mengambil langkah komprehensif untuk membendung masalah kenaikan harga dan perlu memastikan bekalan barangan makanan dan keperluan harian mencukupi.

Beliau berkata, Bersatu akan memperluaskan program bantuan prihatin rakyat yang dilaksanakan parti itu, termasuk program kebun komuniti yang ketika ini sedang dilaksanakan di beberapa kawasan yang dapat menjana pendapatan di samping menghasilkan bekalan makanan dengan kos rendah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here