[VIDEO] Kami tiada pilihan, terpaksa naik harga – Pemilik restoran

0
981

KENAIKAN harga barang dan bahan mentah memaksa pemilik restoran menaikkan harga makanan bagi memastikan perniagaan mereka terus ‘hidup’.

Pengurus Restoran Devi’s Corner, Devi Ananth berkata, mereka telah menaikkan harga roti canai sebanyak 10 sen, iaitu RM1.80 sekeping berbanding RM1.70 sebelum ini.

“Kalau boleh, kami tidak mahu naikkan harga makanan kerana ia akan menimbulkan rasa ketidakpuasan hati pelanggan,” katanya menurut laporan NST.

Pengurus Restoran Devi’s Corner, Devi Ananth

Ananth yang juga merupakan seorang tukang masak berkata, restoran yang telah beroperasi selama 30 tahun itu juga menaikkan harga makanan dan minuman yang lain di dalam menu.

“Kami tidak mahu kehilangan pelanggan, tetapi pada masa yang sama, kami perlu pulih dengan kerugian yang dihadapi semasa pandemik Covid-19.

“Ada juga pemilik restoran yang berhutang dengan pemborong, jadi satu-satunya pilihan yang kita ada ialah dengan menaikkan harga makanan untuk menampung kos yang dikeluarkan,” luahnya.

Katanya lagi, restoran itu masih boleh menjual makanann pada harga yang berpatutan, namun ia tidak jelas pada masa hadapan jika isu ini tidak diselesaikan.

Sementara itu, pengurus Restoran Nasi Kandar Rasmeena Bangsar, Mohamed Najumudin Ibrahim berkata, restorannya terpaksa menaikkan harga setiap barangan makanan dan minuman sebanyak 20 hingga 30 sen.

“Pada awal tahun ini, kami menjual roti canai pada harga RM1.20, namun ia telah meningkat sehingga RM1.50 sekeping. Harga bagi minuman seperti teh tarik dan yang lain juga meningkat RM1.70 berbanding RM1.50 sebelum ini.

“Ia berikutan kenaikan harga barangan seperti Milo, Nescafe, serbuk teh, kopi, gula dan susu, tetapi kita masih menjual pada harga yang berpatutan,” katanya.

Pengurus Restoran Nasi Kandar Rasmeena Bangsar, Mohamed Najumudin Ibrahim

Selain roti canai, Mohamed Najumudin menyatakan harga nasi campur dan nasi kandar juga meningkat disebabkan kenaikan harga bahan mentah seperti ayam, ikan, sayur dan telur.

Selain daripada kekurangan bekalan makanan, kenaikan harga bahan mentah merupakan isu utama yang dihadapi oleh pemilik restoran.

Perkara ini turut berkait dengan kekurangan tenaga kerja yang memaksa pemilik restoran membuat keputusan yang sukar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here