JABATAN kemajuan masyarakat (Kemas) akan mengadakan pemeriksaan kesihatan ke atas semua murid Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) seliaannya sebelum dibenarkan memasuki kelas apabila sesi persekolahan dibuka minggu hadapan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, pemeriksaan kesihatan itu dilakukan bagi memastikan semua murid bebas daripada simptom penyakit tangan, kuku, dan mulut (HFMD).
Menurut beliau, ibu bapa dan penjaga juga diminta untuk tidak menghantar anak yang mempunyai simptom HFMD ke tabika dan taska bagi mengekang penularan penyakit berkenaan.
Katanya, penutupan hampir 11,000 tabika dan taska kelolaan Kemas di seluruh negara sepanjang cuti persekolahan menyebabkan situasi penyakit HFMD semakin terkawal.
“Apabila sesi persekolahan dibuka minggu hadapan, kita akan melakukan pemeriksaan tahap kesihatan ke atas setiap kanak-kanak sebelum dibenarkan memasuki kelas,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Asnaf Berdikari peringkat negeri, di Kuala Nerus, hari ini, lapor Harian Metro.
Mohamad Yazid berkata, semua guru sudah diminta mengekalkan aspek kebersihan, kesihatan dan keselamatan murid sepanjang berada di dalam kelas.
Katanya, ibu bapa dan penjaga tidak perlu risau dengan keselamatan murid di tabika dan taska kerana langkah pencegahan sentiasa diamalkan.
“Prosedur operasi standard (SOP) di semua tabika serta taska sudah ditetapkan dan semua guru perlu melaksanakannya seperti dilakukan ketika negara dilanda pandemik Covid-19,” jelas beliau.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.