KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berjaya mengumpul seramai 17,586 usahawan wanita bagi mengikuti Program Keusahawanan Wanita Bangkit @ KPWKM sejak September tahun lepas.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata jumlah itu dilihat memberansangkan terutamanya selepas peralihan negara daripada fasa pandemik ke endemik.
“Ia sejajar dengan tumpuan KPWKM untuk memperkasakan semula ekonomi kumpulan sasar dan meningkatkan taraf hidup mereka khususnya golongan usahawan wanita,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan kohort ketiga program Akademi Usahawan Wanita (AWE) di Kuala Lumpur, hari ini.
AWE ialah program anjuran kerajaan Amerika Syarikat (AS) di bawah Inisiatif Pembangunan dan Kemakmuran Wanita Global.
Turut serta pada program itu ialah Kuasa Usaha Kedutaan AS di Malaysia, Michael Newbill.
Mengulas lanjut mengenai proram AWE, Rina berkata secara keseluruhan lebih 180 usahawan wanita Malaysia dipilih untuk menyertai program AWE itu sejak dilancarkan pada 2020.
Menurut laporan Bernama, tahun ini seramai 70 usahawan wanita terpilih daripada 700 borang penyertaan diterima yang melibatkan pelbagai perniagaan termasuk produk makanan dan teknologi IT.
Kedutaan AS di Kuala Lumpur bekerjasama dengan Persatuan Jaringan Usahawan Wanita Bumiputra Malaysia (WENA) dalam melaksanakan AWE yang tertumpu kepada program latihan dalam talian, DreamBuilder, yang dibangunkan fakulti pengurusan global Arizona State University.
Program itu melengkapkan wanita dengan perkongsian yang diperlukan untuk menubuh dan mengembangkan perniagaan mereka sendiri, meningkatkan modal dan rangkaian secara efektif dengan pemilik perniagaan lain yang berjaya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.