BEKAS pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Khamis bahawa bantuan kewangan yang disalurkannya kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertujuan mengukuhkan kedudukan syarikat itu sebagai kontraktor Kementerian Dalam Negeri (KDN), telah berjaya mendapat sokongan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani, 42 berkata selain menerima sokongan daripada Ahmad Zahid, pihaknya juga dapat mengurangkan gangguan daripada pesaing lain dalam perniagaan yang sama, menurut laporan dikeluarkan Bernama.
“Memandang Datuk Seri Zahid menerima bantuan, kami bantu sahaja. Bagi kami, yang utama adalah untuk memastikan perniagaan kami tidak diganggu memandangkan ketika itu ada beberapa syarikat lain yang cuba melobi kerja-kerja yang sedang kami jalankan,” katanya.
Beliau berkata sedemikian ketika membacakan penyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladi.
Tambah Wan Quoris Shah, syarikatnya tidak mungkin berjaya mengekalkan dan melanjutkan kontrak berkaitan Visa Luar Negara (VLN) tanpa pertolongan dan bantuan Ahmad Zahid.
Selain itu, dia turut mengakui bahawa ada beberapa kali menyerahkan wang tunai kepada Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
“Wang tunai ini diberikan kepada Ahmad Zahid setelah beliau meminta tolong UKSB untuk menghulur bantuan sebagai sumbangan politik kepada parti UMNO.
“Datuk Seri (Ahmad Zahid) tidak minta secara terangan, tetapi daripada percakapannya saya faham yang beliau mengharapkan sumbangan wang daripada UKSB,” kata Wan Quoris Shah.
Selain itu, dia turut berkata wang yang diserahkan setiap bulan adalah dalam bentuk tunai yang menggunakan Dolar Singapura, mengikut permintaan Ahmad Zahid.
Sebelum ini, saksi pendakwaan ke-15, Harry Lee Vui Khun (Harry Lee), yang juga merupakan bekas pengarah UKSB memberitahu mahkamah bahawa syarikatnya menghantar wang tunai setiap bulan dalam Dolar Singapura kepada Ahmad Zahid dari 2014 hingga 2018 berhubung kontrak Sistem Visa Luar Negara (VLN).
Saksi pendakwaan ke-16 itu juga berkata sudah menjadi kebiasaan mereka yang berada dalam bidang perniagaan untuk mencari peluang di mana-mana kementerian atau agensi kerajaaan untuk mendapatkan kontrak.
“Bagi syarikat UKSB, keperluan kami untuk berjumpa dengan Datuk Seri Zahid (Ahmad Zahid) pada ketika itu adalah untuk mengukuhkan kedudukan kami sebagai kontraktor pembekal sistem pemprosesan visa tunggal untuk KDN supaya tiada orang lain yang boleh ganggu perniagaan UKSB,” katanya.
Wan Quoris Shah juga menyatakan bahawa Harry Lee pernah meminta bantuan daripadanya untuk menghubungi Ahmad Zahid atas sebab hubungan di antara Presiden UMNO dan dirinya.
“Atas sebab dia (Harry Lee) tahu saya kenal dengan Ahmad Zahid, maka dia minta saya untuk cuba berhubung terus dengan Ahmad Zahid. Tujuan kami adalah untuk menerangkan mengenai perniagaan syarikat UKSB,” katanya.
Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.
Beliau didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung 13 Jun depan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.