Kenyataan hina Nabi (SAW): Kemarahan semakin meluas

0
408

SUSULAN satu kenyataan menghina Nabi Muhammad (SAW) yang dibuat seorang pegawai parti pemerintah India, beberapa negara di Asia Barat menjalankan protes tunjuk perasaan bagi mengutuk sekeras-kerasnya perkara itu.

Di Kuwait, pekerja sebuah pasar raya memunggah teh dan beberapa barangan import India dari rak jualan bagi membantah kenyataan itu.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi antara negara terkini yang mengecam hal itu dengan menegaskan bahawa ia ‘bertentangan dengan prinsip serta nilai moral kemanusiaan’.

Kementerian Luar UAE menekanan akan keperluan ‘menghormati symbol agama dan menentang ucapan kebencian,’ sepertimana yang dilaporkan agensi berita WAM.

Selain itu, Arab Saudi, Qatar dan beberapa negara lain di rantau tersebut, yang juga disertai Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir membidas kenyataan dikeluarkan jurucakap Parti Bharatiya Janata (BJP), Nupur Sharma.

Minggu lalu, Sharma mengeluarkan satu kenyataan menghina ke udara melalui televisyen, yang mencetuskan bantahan dan kemarahan umat Islam di India serta pelbagai negara Islam sehingga menuntut wanita itu ditahan.

Parti BJP, yang sering dituduh bertindak ke atas golongan minoriti Muslim di negara itu mengambil keputusan menggantung Sharma atas sebab ‘memberi pandangan bertentangan pendirian parti’.

Ahad lalu, Qatar menuntut India memohon maaf atas kenyataan bersifat ‘Islamofobia’ itu ketika lawatan Naib Presiden India, Venkaiah Naidu dalam usaha meningkatkan perdagangan.

Tuntutan itu disusuli Iran yang memanggil Duta India dalam usaha mengemukakan bantahan daripada kerajaan serta rakyat.

Liga Dunia Islam yang berpangkalan di Arab Saudi menegaskan, kenyataan berkenaan boleh ‘menghasut kebencian’, manakala
Presiden Besar Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi menyifatkannya sebagai ‘perbuatan keji.’

Universiti Al-Azhar pula menyifatkan kenyataan itu sebagai ‘keganasan sebenar’ dan ‘boleh menjerumuskan seluruh dunia ke dalam krisis serta peperangan yang membawa maut.’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here