Buruh mengaku cuba curi wang, tebuk mesin ATM

0
373

TINDAKAN merosakkan mesin wang pengeluaran automatik (ATM) di sebuah bank di Tanah Merah, Mei lalu, seorang pekerja kontraktor mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Krai hari ini atas dua pertuduhan cuba mencuri wang.

Tertuduh, Muhammad Fazlan Sha’ari, 35, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Tuan Amal Razim Alias.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat melakukan cubaan mencuri wang di dalam sebuah mesin ATM milik seorang lelaki di sebuah bank di Tanah Merah, Kelantan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380/511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.

Muhammad Fazlan juga didakwa melakukan khianat iaitu merosakkan sebuah mesin ATM milik lelaki sama di sebuah bank di Tanah Merah dekat sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan olehnya di bank berkenaan kira-kira jam 1.45 pagi pada 18 Mei lalu.

Mahkamah tidak membenar tertuduh diikat jamin sementara menunggu tarikh hukuman pada 14 Jun ini.

Menurut laporan Kosmo! sebelum ini, seorang lelaki pulang dengan tangan kosong selepas cubaannya selama lebih sejam untuk memecah sebuah mesin ATM di sebuah bank dengan mesin pencanai gagal ekoran mesin tersebut dilengkapi sistem kod keselamatan.

Kejadian disedari oleh kakitangan bank berkenaan selepas melihat satu daripada tiga buah mesin ATM di bank itu rosak dengan terdapat kesan ditebuk pada bahagian bawah kira-kira jam 7.16 pagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here