Pelajar MRSM maut, ibu cedera kemalangan di Rembau

0
415

SEORANG pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Muadzam Shah, Pahang maut manakala ibunya cedera parah apabila terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 40 Jalan Seremban-Tampin berhampiran Rumah Rakyat Kendong, Rembau, Negeri Sembilan, Jumaat malam.

Mengikut laporan Astro AWANI, Ketua Polis Daerah Rembau DSP Hazri Mohamad berkata, dalam kejadian pada 9.20 malam itu, mangsa Shazman Sabarudin, 16, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ibu mangsa, Husnirazulia Mohd Yudin, 47, yang mengalami kecederaan parah pula sedang menerima rawatan di zon merah, Hospital Tampin.

“Kemalangan membabitkan dua kenderaan, iaitu jenis Perodua Axia yang dipandu lelaki berusia 24 tahun yang dinaiki kedua-dua mangsa dan kereta Proton Saga yang dinaiki lima individu,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, siasatan awal mendapati terdapat kerja-kerja penurapan jalan dari arah Tampin menghala ke Rembau di lokasi kejadian menyebabkan keadaan jalan tidak rata dan berbatu halus serta hanya mempunyai satu lorong sehala.

Hazri berkata kereta Perodua Axia yang dipandu dipercayai hilang kawalan disebabkan permukaan jalan yang tidak berturap sebelum berpusing dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar Proton Saga.

“Akibat kejadian itu juga, pemandu kereta Perodua Axia serta lima individu menaiki Proton Saga mengalami kecederaan termasuk patah kaki dan dirawat di zon kuning hospital sama,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk proses bedah siasat pada pagi ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here