[VIDEO] Peralatan sekolah naik harga: Penjual tiada pilihan

0
721

KETIKA orang ramai semakin tersepit akibat kenaikan harga barang keperluan asas , harga barangan keperluan sekolah pula dijangka mengalami situasi sama.

Tinjauan SatuBerita di sekitar Petaling Jaya pada Rabu mendapati ,beberapa barangan keperluan persekolahan seperti pensel warna dan buku latihan mengalami kenaikan hampir 50 peratus.

Pekerja, Surita Johari, 36, berkata, pihaknya tiada pilihan selain menaikkan harga kerana pembekal turut meletakkan harga tinggi.

“Dahulu pensil warna boleh dijual pada harga RM3.50 sekotak. Tapi, bila barang lain naik, harga pembekal pun naik sampai kita terpaksa jual RM5 sekotak,” katanya.

Tambahnya, masalah itu berpunca disebabkan peningkatan kos logistik, seperti pengangkutan dan kos import memandangkan harga minyak diesel dan petrol juga meningkat.

Meskipun harga peralatan sekolah di kedainya naik,namun pelanggan masih setia berikutan terdapat kedai lain yang menjual peralatan sama menjual dengan harga lebih mahal.

“Kita ambil pendekatan memberi diskaun untuk harga barang RM20 ke atas sebb kasihan kepada pelanggan,”katanya.

Selain alat tulis, barangan mesin percetakan juga turut tidak terkecuali.

Pemilik kedai percetakan,Loh, 52, memberitahu kenaikan harga barangan asas memberi kesan kepada perniagaan alat tulis dan percetakan yang diusahakannya dengan pelanggan yang semakin terhad.

Menurutnya, harga jualan kertas A4 yang didatangkan dalam 500 helai seunit terpaksa dijual sehingga RM15.60 berbanding RM14 sebelum ini.

“Dakwat dan ‘toner printer’ pun naik harga sampai paling murah kita jual pun tak kurang RM35 (mengikut jenama). Dahulu, paling mahal pun tak sampai RM30,” katanya.

Selain itu, alat tulis yang turut mengalami kenaikan harga ialah fail jenis ABBA yang dijual pada harga RM7.80 berbanding RM5.40 sebelum ini.

Pengusaha kedai buku, Zaharul Mawardi, 59, turut berkongsi masalah kenaikan harga barangan dialami perusahannya sehingga te terpaksa menaikkan harga jualan buku tulis dan buku latihan.

Zaharul berkata, dengan kehadiran lebih banyak pesaing, terutama dalam kalangan penjual atas talian, memaksa beliau untuk mencari pembekal yang dapat memberikan harga jualan dengan diskaun yang tinggi.

“Sektor alat tulis memang terkesan juga, terutama kesukaran untuk mencari pembekal yang memberi harga untuk membolehkan kita bersaing di pasaran,” ujarnya.

Beliau turut mendapati kenaikan harga yang dialami apabila barang diperolehi daripada pembekal dinaikkan sehingga kadar 10 peratus jika dibandingkan dengan harga bekalan sebelum ini.

Meskipun begitu, Zaharul masih mementingkan pelanggannya yang terdiri daripada penduduk kawasan kos rendah yang dilihat tidak mampu untuk mendapatkan buku sekiranya harga dinaikkan.

“Harga memang agak naik dibandingkan dengan yang dulu. Disebabkan kita menjual di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi, kita tak boleh letak harga mahal,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan SatuBerita turut mendapati barangan persekolahan lain, seperti baju dan kasut sekolah, tidak mengalami kenaikan seperti alat tulis dan alat percetakan.

Pengurus kedai pakaian sekolah, Siti Aishah, 30 menyatakan harga jualan beberapa jenis pakaian persekolahan seperti baju beruniform kekal harga sama.

Ini apabila sehelai baju sekolah dijual pada harga antara RM20 hingga RM25 mengikut saiz dan baju beruniform pada harga RM30 mengikut jenis dan saiz.

“Baju sekolah untuk tahun ini masih kekal dengan harga sama,” katanya.

Namun, tidak dinafikan terdapat kemungkinan perubahan harga dalam masa terdekat sekiranya stok baharu diambil bagi menggantikan bekalan sedia ada.

Harga beberapa barangan keperluan persekolahan yang didapati meningkat di beberapa kedai sekitar Petaling Jaya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here