Timbalan Pengarah Bomba Sabah bantu wanita bersalin dalam kereta

0
541

SEORANG wanita berdepan detik cemas apabila terpaksa bersalin dalam kereta kerana tidak sempat ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas, Kota Kinabalu pada pukul 1.45 tengah hari akibat kesesakan jalan.

Wanita berusia 39 tahun terbabit yang menaiki Perodua Viva dipandu suaminya terpaksa berhenti di tepi jalan kerana sudah tidak sakit sebelum melahirkan anak perempuan dalam kenderaan berkenaan.

Kebetulan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan yang melihat kereta tersebut di tepi jalan tersebut dalam keadaan mencurigkan menarik perhatiannya.

Farhan kemudian berhenti untuk memeriksa kereta itu ketika dalam perjalanan menuju ke Ibu Pejabat JBPM Sabah yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

“Saya melihat kelibat seorang wanita terbaring dalam kenderaan dan gelagat lelaki berdepan kecemasan.

“Sebaik menyedari kejadian sebenar, saya menghubungi pasukan bomba dan membantu menenangkan mangsa serta mengikat tali pusat bayi terbabit.

“Pasukan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) yang hadir di lokasi terus memberi rawatan awal sebelum diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Farhan berkata, mangsa dan bayi terbabit dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan kini ditempatkan di Hospital Likas untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Farhan berkata, kes kecemasan seperti ini bukanlah yang pertama dihadapinya selaku pegawai bomba.

Katanya, pernah juga ada kes di mana wanita terpaksa melahirkan anak di balai bomba akibat masalah kesesakan untuk ke hospital yang memaksa mangsa singgah ke balai bomba untuk meminta bantuan dihantar ke hospital berhampiran.

“Ada juga kes di kawasan pedalaman yang mana wanita terpaksa melahirkan anak dalam helikopter bomba semasa dalam penerbangan ke hospital.

“Menerusi pengalaman seperti ini, jabatan ini akan sentiasa menerapkan ilmu berkaitan kes kecemasan kepada pasukan bomba terutama kepada unit EMRS supaya lebih bersedia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here