Mahkamah batalkan perintah melepas tanpa bebas Long Tiger

0
333

MAHKAMAH Tinggi Muar hari ini, membatalkan perintah melepas tanpa membebaskan Abdul Hamim Ab. Hamid atau Long Tiger yang diberi Mahkamah Majistret Tangkak pada 17 Mei lalu.

Keputusan berkenaan dibuat Hakim Datuk Abu Bakar Katar selepas mendapati terdapat kekhilafan sewaktu perintah dilakukan bagi pertuduhan mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

Harian Metro melaporkan, perintah itu dibuat berikutan kematian mengejut saksi utama pendakwaan, Luqman Hakeem Othman pada 23 Mac lalu.

Keputusan berkenaan turut memerintahkan perbicaraan diteruskan di Mahkamah Majistret Tangkak dan mengarahkan Abdul Hamim hadir di mahkamah sama pada 5 Jun nanti bagi penetapan tarikh sambung bicara.

Abu Bakar juga tidak membenarkan jaminan terhadap Long Tiger ketika keputusan semakan kehakiman dibacakan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali dan Muhammad Qaiyyum Ramlan manakala tertuduh diwakili peguam, Puteri Aisyah Zahirah Zakaria.

Sementara itu, Long Tiger tiba di Mahkamah Tinggi Muar kira-kira pukul 9 pagi dengan dikawal ketat oleh polis.

Terdahulu, pada 17 Mei lalu, Mahkamah Majistret Tangkak memberikan perintah pelepasan bukan pembebasan terhadap Long Tiger yang menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

Majistret Zaridah Y. Abdul Jaapar mengeluarkan perintah itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan membuat hujahan lisan ekoran kematian mengejut Luqman Hakeem pada pertengahan perbicaraan.

Pada 20 Januari lalu, Long Tiger dijatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Tangkak kerana melarikan diri daripada tahanan mahkamah pada 15 Disember 2021.

Bagi kesalahan berkenaan, dia didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau keduanya sekali.

Lelaki berketurunan Rohingya itu juga kini berdepan perbicaraan bagi kes mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana melakukan kurungan yang salah dan ugutan bunuh.

Long Tiger juga masih berdepan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 376 kanun sama kerana merogol di Mahkamah Muar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here