JHEAIK siasat dakwaan amalan khurafat di Gunung Jerai

0
493

JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) menjalankan siasatan terhadap amalan yang dikatakan bersifat khurafat, dilakukan beberapa individu di Gunung Jerai seperti yang tersebar di media sosial, baru-baru ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd. Yusri Daud berkata, siasatan itu dijalankan setelah pihaknya menerima aduan daripada orang ramai berhubung penularan video berkenaan, yang berdurasi kira-kira seminit.

Menurutnya, JHEAIK amat memandag berat dan menyiasat aduan tersebut mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah Darul Aman 2014 atas kesalahan doktrin palsu dan menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina.

“Jika sabit kesalahan, Seksyen 4 enakmen tersebut memperuntukkan hukuman didenda tidak lebih RM5,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau disebat tidak lebih enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

“Untuk kesalahan di bawah Seksyen 7 pula, mereka yang terlibat boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, pihaknya menerusi Bahagian Penyelidikan JHEAIK dalam masa sama akan terus mengadakan siri penerangan di seluruh negeri Kedah berkaitan bahaya amalan khurafat kepada masyarakat.

“JHEAIK amat berharap golongan pendakwah dan asatizah di negeri ini menyampaikan ilmu berdasarkan fakta, berpandukan sumber dalil dari al-Quran dan sunnah.

“JHEAIK juga amat berharap masyarakat seluruh Kedah sentiasa berwaspada dan berhati-hati dalam menerima sebarang dakwaan berkaitan agama Islam,” katanya.

Sejak beberapa hari lepas, tular satu video dimuat naik di Tik Tok memaparkan tindakan individu tertentu yang naik ke Gunung Jerai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here