Timbalan Presiden: Semua cabang PKR Melaka pilih Rafizi

0
431

SEMUA cabang PKR di Melaka memilih Rafizi Ramli untuk jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti tersebut.

Memetik laporan FMT, beliau yang beroleh 2,427 undi mendahului pesaingnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menerima 1,468 undi.

Namun, Rafizi masih belum boleh menarik nafas lega kerana jumlah pengundi di Melaka adalah kurang daripada 4,000 orang.

Secara keseluruhan, seramai 147,334 ahli PKR terlibat dalam pemilihan kali ini.

Pemilihan di Melaka juga menyaksikan kejutan apabila Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin tewas di tangan Mohd Rafee Ibrahim bagi jawatan ketua cabang.

Bagi persaingan jawatan ketua Pemuda PKR pula, Adam Adli memenangi empat cabang, manakala Fahmi Zainol, calon pasukan Rafizi, memenangi dua.

Pertembungan seorang lagi calon pasukan Rafizi, Rodziah Ismail dengan Fadhlina Sidek bagi jawatan ketua wanita pula lebih sengit, dengan masing-masing memenangi tiga cabang.

Sementara itu, Halim Bachik menang di Masjid Tanah dengan hanya empat undi melebihi pencabarnya, Amran Othman, bagi jawatan ketua cabang.

Di Alor Gajah, Ginie Lim, yang digugurkan sebagai calon oleh parti itu berhubung dakwaan kaitannya dengan Azmin Ali, menang dengan 594 undi.

Pemilihan PKR secara rasminya telah berakhir, berikutan pemilihan semula di 12 cabang di Kedah, Terengganu, Sabah, Selangor dan Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa dalam kenyataannya hari ini berkata, keputusan tidak rasmi akan diterbitkan di laman sesawang parti mulai hari ini, manakala keputusan rasmi akan diumumkan pada 25 dan 26 Jun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here