Penunggang motosikal mengaku tidak bersalah pukul warga emas

0
300

SEORANG penunggang motosikal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas pertuduhan mencederakan warga emas, Ahad lalu.

Tertuduh, Muhammad Zulkifli Che Su, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada Zainol Din Hussain di Padang Jawa, Shah Alam pada pukul 12 tengah hari, lapor Harian Metro.

Ia adalah kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Erneetha Kaur mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa atau saksi berkaitan kes berkenaan.

Tertuduh yang diwakili peguam Abi Mursyidin Awal memohon agar anak guamnya dikenakan ikat jamin pada kadar rendah kerana dia hanya bekerja sebagai mekanik serta perlu menanggung ibu bapanya di kampung.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM2,000 dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa atau saksi berkaitan.

Ahad lalu, seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas memukul warga emas di tengah jalan raya berhampiran jejantas di Padang Jawa.

Kejadian itu tular di media sosial.

Mahkamah menetapkan 13 Julai depan untuk sebutan semula kes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here