[VIDEO] Dulu timun RM2.50 kini RM7 sekilogram – Peniaga

0
1918

KENAIKAN harga barang keperluan harian kebelakangan ini semakin menghimpit rakyat untuk memastikan kelangsungan hidup dalam situasi yang semakin mencabar.

Menerusi tinjauan Satu Berita yang dilakukan di kedai-kedai runcit sekitar Bangsar, mendapati antara barangan yang menunjukkan peningkatan harga mendadak termasuk sayur-sayuran dan beberapa barangan keperluan dengan permintaan tinggi.

Shameer Ali, 25 berkata, sayur-sayuran yang dibekalkan kepadanya terus menunjukkan peningkatan ketara dan terpaksa menaikkan harga jualan sehingga mendapat keluhan para pengguna.

Katanya, dirinya kini terpaksa menjual sekilo timun pada harga yang mencecah RM7 sekilogram sedangkan sebelum ini hanya berharga RM2 sehingga RM 2.50 sekilogram.

Sayur-sayuran lain yang juga terpaksa digandakan harganya adalah termasuk harga jualan cili api yang daripada RM7 menjadi RM18 sekilo berikutan peningkatan harga yang semakin tidak terkawal.

“Lain barang yang naik harga macam ayam. Dulu kalau dapat dari pembekal hanya RM6 sekilo. Sekarang, bila dah lain naik harga, kita pun dapat RM9 dari pembekal sahaja.”

Tambahnya, perusahaan kecilnya itu telah menaikkan harga jualan ayam kepada RM11 sekilo berbanding harga jualan sebelum ini pada harga RM9 sekilo beberapa bulan lepas.

Perkara ini diburukkan lagi apabila Shameer juga sempat mengadu akan masalah bekalan tidak mencukupi sehingga tidak dapat dijual kepada pengguna lain.

“Sebelum ni, ada pernah ayam dua hari tak dapat dari pembekal. Jadi, kami sendiri pun tak dapat nak jual,”

Namun, hasil tinjauan di sebuah lagi kedai serbaneka mendapati ada beberapa barangan yang dinaikkan harga dalam kadar antara 40 hingga 50 sen setiap barangan.

Tinjauan mendapati kenaikan harga beberapa keperluan asas, termasuk beras masih terkawal

Pengurus, Nashriq Jati, 25 tidak menafikan bahawa beberapa keperluan termasuk gula, tepung dan beras mencatatkan kenaikan tetapi tidaklah secara mendadak.

“Macam gula, kopi ada juga saya nampak naik harga. Tapi tak banyak, cuma dalam 40 hingga 50 sen untuk beberapa barangan tertentu,” katanya.

Ini termasuk harga jualan tepung gandum yang masih berada dalam julat RM2 hingga RM2.60 mengikut jenama dan telur yang masih dapat dijual pada harga berpatutan meskipun mempunyai laporan akan kekurangan bekalan daripada pengeluar.

Tambahnya, meskipun keperluan-keperluan asas ini masih mendapat permintaan tinggi daripada pengguna, kuantiti yang diterima mereka masih berada dalam kadar mencukupi untuk memenuhi keperluan pelanggan.

Bagaimanapun, hanya minyak masak paket dan botol didapati mengalami kekurangan bekalan di kedai-kedai runcit di sekitar sini meskipun mendapat permintaan memandangkan barangan tersebut menjadi keperluan asas dalam hidupan seharian masyarakat.

Pengurus sebuah lagi kedai runcit, Kumutha Sivaneswaran, 45 berkata, punca bekalan minyak masak yang berkurangan itu adalah disebabkan oleh kedainya masih belum menerima bekalan daripada pembekal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here