Cerai talak tiga buat isteri kedua

0
433

Setelah tiga tahun kemelut rumah tangga berlarutan, akhirnya bekas isteri kepada pelakon Amar Asyraf, iaitu Vivy Jeffry, diceraikan dengan talak tiga pada Khamis di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada Khamis.

Masalah rumah tangga yang dihadapi mereka bukan lagi perkara baharu namun setelah berjuang untuk menyelesaikan konflik berkenaan secara baik, hanya sekarang baru bernoktah.

Vivy yang juga merupakan isteri kedua kepada pelakon berkenaan sudah diceraikan pada 4 November 2019 namun dek beberapa masalah, pengesahan penceraian tersebut tertangguh.

“Memang proses penceraian ini tidak dapat diselesaikan dengan cepat kerana masalah dokumen selain beberapa masalah daripada pihak Amar.

“Jadi pihak mahkamah tidak memberikan keputusan rasmi mengenai perkara berkenaan sehinggalah semalam.

“Setiap hari saya berdoa agar urusan ini dipermudahkan. Saya juga mahu hidup tenang tanpa sebarang masalah. Dah penat nak hadap benda macam ni,” katanya.

Meskipun terpaksa menunggu satu tempoh masa yang panjang untuk menyelesaikan kes berkenaan, dia reda dan bersyukur kerana akhirnya dapat membina semula kehidupan dengan lebih tenang.

Tambahnya, tiada kesedihan di dalam hatinya meski diceraikan dengan talak tiga memandangkan fokusnya kini adalah untuk membesarkan anak lelaki mereka sebaik mungkin.

“Sebelum ini, Amar ada beritahu dia akan membincangkan mengenai anak pula selepas kes ini selesai tapi saya anggap itu cuma untuk menyedapkan hati saja.

“Saya berharap dia dapat berfikir apa yang baik untuk kehidupan kerana hidup kita tak lama lambat laun kita akan pergi selamanya,” tambahnya lagi.

Terdahulu pelakon ini pernah mencetuskan kontroversi apabila mahu bernikah untuk kali ketiga dengan seorang gadis bernama Ellika Azman sekitar tahun 2020.

Namun disebabkan baru mengetahui kewujudan isteri keduanya, Vivy, wanita berkenaan membatalkan hasrat untuk bernikah dengan Amar dan mendedahkan perkara tersebut kepada umum.

Amar juga mempunyai isteri pertama yang dikenali dengan nama Arna Salleh dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here