PPM rampas minumam keras seludup RM144,709

0
270

PASUKAN Polis Marin (PPM) merampas minuman keras seludup bernilai RM144,709 termasuk cukai selepas menahan sebuah bot di kawasan laut Menumbuk, Labuan, pada pukul 4.10 pagi semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Persekutuan Labuan, Asisten Superintendan Saidul Maruf Rosli berkata, sebelum itu pasukan peronda mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di perairan pulau bebas cukai itu .

“Mereka dipercayai membawa minuman keras dari Labuan di kawasan laut Menumbuk. Pasukan peronda PPM kemudiannya menahan bot berkenaan di tepi bakau Menumbuk.

“Bagaimanapun sebaik dihampiri, dua suspek yang berada di atas bot bertindak terjun melarikan diri ke kawasan paya bakau dan gagal dikesan.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit membawa sejumlah muatan minuman keras yang dipercayai belum bercukai dan ingin diseludup dari Labuan ke tanah besar Sabah,” katanya memetik laporan Utusan Bornei, hari ini.

Beliau berkata rampasan keseluruhan minuman keras dan sebuah bot fiber beserta enjin bot itu berjumlah RM144,709.50 termasuk cukai.

“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan diserahkan kepada Jabatan Kastam Wilayah Persekutuan Labuan.

“PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 013-9391197,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here