‘Zahid cuba berbaik ketika saya jadi PM, suarakan kerisauan kes jenayahnya’- Tun M

0
379

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan kerisauan berhubung kes jenayah yang dihadapinya ketika mereka mengadakan beberapa pertemuan.

Menerusi pernyataan pembelaan yang difailkan menerus Tetuan Haidir & Co, Dr. Mahathir mendakwa pertemuan sebanyak lima kali itu antara 7 Jun 2018 dan 25 Feb 2020 berlaku di beberapa lokasi, lapor Bernama.

Lokasi lima pertemuan itu ialah di Mines Resort City, Seri Kembangan, Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya dan Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra.

Katanya, sepanjang tempoh itu, plaintif (Ahmad Zahid) sememangnya telah menyuarakan kepada beliau berkenaan kes-kes jenayah yang sedang dihadapi olehnya di mahkamah.

“Memandangkan saya ketika itu (sepanjang 2018 dan 2020) masih memegang kedudukan sebagai Perdana Menteri dan Perdana Menteri Interim, Ahmad Zahid sememangnya telah mengambil peluang untuk berbaik-baik dengan saya memandangkan pada ketika itu kes-kes jenayah yang dihadapi Ahmad Zahid mampu membahayakan kerjaya politiknya.

“Maka, semestinya itu yang menjadi kerisauan plaintif pada ketika itu dan ia disuarakan kepada saya,” katanya.

Dr. Mahathir mendakwa demikian di dalam pernyataan pembelaan bagi menjawab saman yang difailkan Ahmad Zahid terhadapnya.

Dr Mahathir mendakwa Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan telah mendedahkan melalui akaun Facebooknya bahawa plaintif sendiri telah memintanya (Khairuddin) untuk mengaturkan pertemuan dengan bekas perdana menteri itu.

Menurut beliau, adalah logik untuk mengatakan Ahmad Zahid telah datang dan bertemu dengannya selepas beliau menjadi Perdana Menteri dengan perancangan untuk cuba membersihkan semula nama baiknya yang telah lama tercemar kerana kes jenayah berkenaan.

“Saya tidak mempunyai sebarang niat jahat terhadap Ahmad Zahid dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan atau pengaruh di dalam apa-apa keputusan yang dibuat oleh mahkamah berhubung kes-kes jenayah yang dihadapi Ahmad Zahid,” dakwa Dr Mahathir.

Ahmad Zahid menfailkan saman selepas mendakwa Dr. Mahathir telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dan berniat jahat terhadapnya pada Majlis Pelancaran Aspirasi Parti Pejuang.

Majlis itu diadakan bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 23 Februari lalu.

Kenyataan fitnah itu katanya, termasuk membawa maksud beliau seorang yang menggunakan jalan pintas dalam menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang sedang berjalan.

Antara lain ialah kenyataan itu mendakwa Ahmad Zahid menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi Dr Mahathir bagi mencampuri urusan perbicaraan jenayah dan mencampuri penyiasatan yang dijalankan oleh agensi penguatkuasaan terhadapnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here