[VIDEO] Sahabat nyanyikan lagu ‘teman sejati’, ceriakan Yasin di mahkamah

DEMI semangat setiakawan, sahabat dan ahli kumpulan Brothers, Syah Rizal Mohamed, 45, dan Abdullah Faiz Muhammad, 45, tetap menyatakan sokongan penuh buat Yasin Sulaiman yang kini dipenjarakan di Sungai Buloh atas kesalahan mengedar ganja.

Menurut Rizal, semangat setiakawan antara mereka termasuk rakan-rakan artis nasyid lain tidak pernah luntur meski Yasin kini dilanda ujian besar.

“Hari ini kami bersama sahabat-sahabat lain hadir di mahkamah bagi mendengar prosiding sebagai solidariti kepada dia. Alhamdulillah, Yasin juga nampak sihat dan ceria.

“Mungkin kerana dia tengok rakan-rakan hadir menyokong selain keluarga. Kami tengok dia pun nampak bersemangat, mungkin juga semasa bulan Ramadan lalu banyak pengisian bermanfaat buatnya di penjara.

“Mana mungkin semangat setiakawan antara kami luntur sebab lebih 30 tahun kami ini berkawan. Saya dan Syah adalah rakan sekolah Yasin sejak kami berusia 14 tahun lagi,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Dalam memberi semangat kepada Yasin, mereka turut menyanyikan lagu ‘Teman Sejati’ semasa Yasin keluar dari mahkamah.

Dalam pada itu, Yasin juga dilaporkan sudah mendapatkan rawatan penyakit bipolar yang pertama di Hospital Sungai Buloh, Selangor, pada Selasa, sejak beliau berdepan dua pertuduhan menanam  17 pokok ganja dan mengedar 214 gram dadah, pada 31 Mac lepas.

Peguam Ariff Azami Hussien yang mewakili Muhammad Yasin memaklumkan perkara itu pada sebutan kes berkenaan hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jamaludin Mat dan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Ariff Azami berkata rawatan psikiatri yang perlu diberikan kepada Muhammad Yasin telah diuruskan oleh pihak Penjara Sungai Buloh selepas permohonan tersebut dibuat pada tarikh sebutan lepas (31 Mac).

Semasa memasuki mahkamah, Yasin yang memakai baju berwarna putih menunjukkan isyarat bagus dan melambai ke arah ahli keluarga serta beberapa rakan artis yang duduk di galeri awam.

Pelantun lagu ‘Mimpi Laila’ itu juga sempat berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kabinet kerana ’setuju’ kanabis untuk perubatan.

“Terima kasih kepada PM dan kabinet, kerana bersetuju kanabis perubatan,” katanya ringkas ketika diiring masuk ke mahkamah.

Prosiding itu turut dihadiri Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan abang Muhammad Yasin, Zain.

Pada 31 Mac lepas, bapa kepada dua orang anak itu didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang daripadanya kanabis boleh diperoleh sama ada secara terus atau secara tidak langsung di kediamannya di Kondominium Casa Indah, Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3 Kota Damansara di sini, pada 5.30 petang, 24 Mac lepas.

Dalam pada itu, Syed Saddiq yang juga Pengerusi Kaukus Medical Cannabis berkata, beliau telah berjumpa Perdana Menteri untuk memperhalusi cadangan penggunaan ganja bagi tujuan perubatan.

“Saya sebaik mungkin akan membantu dalam isu ini supaya ia dilihat daripada sudut data dan sains,” katanya. – SB