LIMA individu termasuk tiga kanak-kanak cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM 9.2 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dekat Subang, Selangor pada malam Jumaat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.55 malam dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang dengan kekuatan enam pegawai serta anggota digegaskan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata saksi memaklumkan insiden tersebut membabitkan tujuh kenderaan namun apabila pihaknya tiba di tempat kejadian, hanya tiga kenderaan berada di lokasi iaitu lori yang melanggar kereta Perodua Axia dinaiki empat sekeluarga dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina dinaiki tujuh warga Bangladesh.
“Lima mangsa yang cedera ringan masing-masing tiga mangsa menaiki kereta iaitu lelaki berusia 42 tahun bersama dua anak lelakinya berusia 13 dan 10 tahun manakala dua lagi mangsa menaiki MPV iaitu wanita berusia 59 tahun serta kanak-kanak perempuan berusia lima tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kesemua mangsa terbabit dikeluarkan dari kenderaan dengan bantuan orang awam dan dihantar ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut manakala pemandu lori dipercayai menghilangkan diri dari lokasi kejadian.–Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.