Transaksi mencurigakan, duit Idzham dalam bank lesap

0
573

SIAPA yang tidak kecewa apabila wang yang disimpan di dalam bank lesap. Itu juga nasib yang menimpa pelakon Idzham Ismail apabila wang RM7,000 hilang .

Duit yang disimpan di dalam akaun bank isterinya, Siti Nur Abilah itu dikesan lesap beberapa hari lalu sementelah dia berhadapan dengan masalah teknikal beberapa hari sebelum 1 Syawal lalu.

“Pada 29 April lalu dia ada memaklumkan yang tidak dapat mengakses akaun bank melalui telefon bimbit. Namun keesokan hari, kad bank tersebut tak boleh diguna.

“Ketika itu kami mahu membuat pembayaran untuk berbuka puasa dan kad tersebut pula disekat. Lantas kami hubungi pihak bank untuk tindakan lanjut,” kata Idzham.

Tambahnya, pihak bank minta mereka untuk hadir ke bank pada Isnin untuk urusan pertukaran kad.

Namun dek kerana hari raya jatuh pada tarikh berkenaan, mereka hanya berbuat demikian pada Khamis lalu di sebuah bank terletak di Pulau Pinang.

Apabila dapat mengakses semula akaun tersebut barulah mereka sedar sebanyak RM7,000 telah lesap berdasarkan beberapa transaksi yang mencurigakan.

“Bila kami lihat transaksi bank, dalam masa sehari, ada sekitar lapan hingga sembilan transaksi yang dibuat ke Amerika Syarikat.

“Ada transaksi berjumlah RM1,000 dan ada juga RM2,000. Memang sangat mencurigakan sebab kami tak pernah berkongsi data perbankan di mana-mana platform online,” jelasnya lagi.

Paling menyedihkan apabila isterinya menangis kerana insiden berkenaan dan mereka telah membuat laporan polis sementara menunggu tindakan lanjut daripada pihak bank.

Berharap wang tersebut akan dikembalikan semula, pelakon yang popular dengan drama Juvana ini reda sekiranya wang tersebut tidak dikembalikan.

“Wang itu besar nilai bagi kami. Semuanya dikumpul sejak melalui tempoh pandemik yang lalu. Apa-apa pun saya tunggu maklum balas daripada pihak bank,” katanya.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here