Jantung berair, Amyra reda anak diuji

0
312

HATI ibu mana yang sanggup melihat anak berdepan dengan pelbagai kesukaran akibat masalah kesihatan. Itu juga yang terpaksa dihadapi oleh pelakon Amyra Rosli saat terpaksa menjaga Ayra Aryssa, 2, yang diserang virus kawasaki baru-baru ini.

Impaknya, bahagian jantung anaknya mengalami sedikit masalah dan perlu makan ubat cair darah setiap hari bagi mengelakkan masalah lebih teruk berlaku pada masa hadapan.

“Alhamdulillah keadaan Aryssa semakin baik dari semasa ke semasa. Dia memang sedang dalam fasa pemilihan cuma doktor masih memantau keadaan jantung untuk tempoh tiga bulan.

“Rambutnya gugur dan keadaan perut pula kembung. Saya sedih dan tak mampu nak buat apa-apa dalam tempoh masa ini. Saya ikut sahajalah cakap doktor dan dia terpaksa makan ubat untuk mencairkan darah,” katanya bercerita.

Bagi isteri kepada pelakon Amar Baharin ini, dia reda dengan apa yang berlaku dan menganggap ini adalah ketentuan Tuhan untuk diharungi bersama.

Setidaknya, apabila Aryssa terkena virus ini, lebih ramai ibu bapa di luar sana yang mula ambil tahu dan lebih berwaspada kepada anak masing-masing selepas itu.

Tambahnya lagi, impak virus ini bukan sedikit dan ada kala dia sendiri termenung memikirkan keadaan anaknya itu setiap kali pulang ke rumah.

“Virus kawasaki ini membuatkan jantung Aryssa berair dan ada saluran yang membengkak. Dia kena bergantung kepada ubat-ubatan sekarang.

“Doktor kata selepas tiga bulan kebiasaannya pesakit akan pulih. Saya cuba berharap keadaan ini akan kembali pulih dan Aryssa dapat aktif macam dulu lagi,” jelasnya.

Dia berkata demikian ketik ditemui sempena majlis berbuka puasa bersama pelakon Jangan Menangis Cinta di SACC Mall Shah Alam, Selangor.

Namun, jauh di sudut hati kecilnya terdetik mengala semua ini berlaku kepada mereka. Ada kala dia termenung di kawasan parkir rumah dan pelbagai persoalan datang menerjah.

“Tak ada apa yang boleh dilakukan selain reda dengan ujian dan ini sedikit sebanyak memberikan kekuatan kepada kami sekeluarga menghadapinya.

“Kena ingat, disebalik ujian ada rahmat juga. Setidaknya ramai yang lebih berwaspada dan ambil peduli tentang virus ini,” katanya berterus terang.

Terdahulu, Aryssa dimasukkan ke hospital setelah mengalami demam panas. Dia kemudiannya disahkan dijangkiti virus kawasaki yang biasanya menyerang saluran darah mereka yang dijangkiti.

Selain Aryssa, pasangan ini juga dikurniakan Aqeef Anaqi yang kini berusia 4 tahun. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here