Polis keluarkan identiti baki 61 tahanan etnik Rohingya

0
243

POLIS akan mengeluarkan nama dan gambar baki 61 tahanan etnik Rohingya yang masih lolos selepas melarikan diri daripada Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap dekat Bandar Baharu, Pulau Pinang pada 20 April lepas.

Ketua Polis Kedah, CP Wan Hassan Wan Ahmad berkata pihaknya sedang menyiapkan nama dan gambar kesemua baki tahanan itu sebelum mengedar dan mengeluarkannya menerusi media massa dalam masa terdekat.

“Identiti mereka ini akan dikeluarkan supaya apabila ada tangkapan, boleh tahu mereka ini pernah lari dari depot Imigresen berkenaan.

“Kalau tidak keluarkan identiti mereka mungkin penguat kuasa yang lain tidak tahu sebab nama mungkin mereka boleh tukar-tukar tetapi apabila ada gambar, ada tangkapan di Kuala Lumpur, Selangor atau negeri lain kita boleh tahu mereka adalah tahanan yang dicari,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan kes tahanan Rohingya melarikan diri itu.

Terdahulu, Wan Hassan mengadakan lawatan kerja ke Markas Taktikal (MARTAK) Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Kayu Hitam bagi menyampaikan sumbangan raya kepada petugas PGA yang bertugas di sempadan.

Sebelum ini, media melaporkan sebahagian besar tahanan etnik Rohingya yang lolos dipercayai mahir mengenai keadaan negara.

Sebanyak 50 daripada 61 tahanan itu didapati berada di negara ini antara dua hingga tiga tahun sehingga membolehkan mereka dipercayai mengetahui cara untuk mengelak diri daripada dikesan dan ditahan semula. — Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here