Tahanan Rohingya lolos dipercayai mahir keadaan di Malaysia – Polis

0
260

SEBAHAGIAN besar daripada 61 pelarian etnik Rohingya yang masih lolos selepas melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap dekat Bandar Baharu pada 20 April lepas dipercayai mahir mengenai keadaan negara ini.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, 50 daripada mereka didapati telah berada di negara ini antara dua hingga tiga tahun membolehkan mereka tahu untuk mengelak diri daripada dikesan dan ditahan semula oleh polis.

Bagaimanapun katanya polis akan terus mempergiat operasi mengesan tahanan itu yang terdiri daripada 51 lelaki, enam wanita, tiga kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki.

“Operasi masih berjalan dengan polis telah membuat pembilasan hampir 90 peratus di kawasan hutan dan sekitar Bandar Baharu, tetapi dua hari ini memang tiada sebarang penemuan baki tahanan.

“Kebelakangan ini, tangkapan semula banyak dilakukan di kawasan Pulau Pinang dan kita percaya tahanan ini ada di Seberang Perai Selatan dan kawasan sekitar. Kita juga dapati 50 daripada 61 tahanan ini telah lama tinggal di negara ini manakala 11 tahanan yang lain masih baharu di sini,” katanya mengulas mengenai perkembangan terbaharu operasi mengesan tahanan yang masih lolos.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Wan Hassan berkata pihaknya juga tidak menolak kemungkinan bahawa 50 tahanan yang mempunyai pengetahuan mengenai selok-belok negara ini membuat perancangan untuk mengelakkan daripada dikesan dengan menggunakan wanita dan kanak-kanak.

“Tengok cara mereka larikan diri, mereka pergi ke lebuh raya Seberang Perai Selatan dan bukannya ke kawasan sekitar Bandar Baharu kerana mereka sudah ada pengetahuan mengenai negara ini,” katanya.

Menurut Wan Hassan, siasatan sedang dilakukan ke atas tahanan yang dipercayai sebagai dalang dalam kejadian itu dan sebarang maklumat tidak boleh didedahkan buat masa ini.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here