Didenda RM100 bermain meriam karbaid, sebar video di media sosial

0
183

SERAMAI tiga lelaki didenda RM100 selepas didapati bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini atas kesalahan menyalakan meriam karbaid serta merakam dan menularkan perbuatan itu di media sosial pada 7 April lalu.

Tertuduh, Muhammad Shahrul Izzuan Kamaruzaman, 28, dan Muhammad Nawar Md. Shariff, 28, bersama seorang lagi remaja bawah umur sebelum itu mengaku bersalah di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan sengaja menyalakan meriam karbaid yang diletakkan di dalam paip PVC bertujuan menembak mercun ke udara.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Permatang Rawa di hadapan Kedai Makan Pokok Nyok di Bukit Mertajam, kira-kira pukul 11 malam pada 7 April lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman penjara sebulan atau denda RM100 atau kedua-duanya.

Sementara itu, tertuduh berusia 17 tahun bagaimanapun dibenarkan diikat jamin oleh ibu bapa atau penjaga sebanyak RM1,000 sementara menunggu laporan akhlak bagi sebutan semula kes pada 26 Mei ini.

Di mahkamah sama, tertuduh Abd. Rahman Noorudin, 33, mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja memviralkan video cara bermain mercun jenis meriam karbaid di tempat awam dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat, masa dan hari yang sama.

Abd. Rahman didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here