ADUN DAP Perak tidak mengaku ambil dadah

0
203

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu, 54, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya pada Januari lalu.

Terence yang merupakan ADUN DAP Perak itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd. Akit.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberikan kepada diri sendiri dadah berbahaya jenis 3,4-methylenedioxymethamphetamine (MDMA) yang ditetapkan di Bahagian III dari Jadual Pertama, Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam kira-kira pukul 12.13 tengah malam 14 Januari lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim manakala tertuduh diwakili peguam Ramkarpal Singh dan RSN Rayer.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes 17 Mei depan.

Terdahulu, akhbar melaporkan seorang ADUN dari Perak ditahan polis pada 13 Januari lalu selepas ujian saringan air kencing dijalankan ke atasnya positif dadah.

ADUN itu dilaporkan ditahan di sebuah restoran yang berlatar belakang seolah-olah seperti kelab malam dekat Perai, Pulau Pinang pada pukul 9 malam. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here