Sambutan Nuzul al-Quran tahun ini lebih meriah

0
322

KELONGGARAN yang dinikmati oleh umat Islam untuk meraikan sambutan Nuzul al-Quran secara beramai-ramai di masjid dan surau tahun ini adalah hasil tindakan pantas kerajaan terdahulu di bawah Perikatan Nasional (PN) melaksanakan program imunisasi besar-besaran.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat Malaysia berasa sungguh beruntung kerana tahun ini mereka dapat melaksanakan pelbagai aktiviti berkaitan sambutan Nuzul al-Quran sebagaimana biasa seperti majlis tadarus dan tadabur serta majlis khatam al-Quran secara beramai-ramai di masjid atau di surau.

“Alhamdulillah, saya difahamkan hampir kesemua masjid dan surau di negara ini menganjurkan majlis seperti ini.

“Keadaan ini berbeza ketika negara berada dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 dua tahun lalu yang mana semua majlis sedemikian hanya boleh diadakan di rumah masing-masing sahaja.

“Ini adalah hasil tindakan pantas dan drastik Kerajaan ketika itu memperkenalkan program imunisasi besar-besaran kepada rakyat jelata yang menyaksikan hampir kesemua populasi dewasa sudah menerima dos lengkap vaksinasi masing-masing.

“Keadaan ini membolehkan seluruh sektor kehidupan dibuka sepenuhnya seperti sediakala,” katanya dalam hantaran sempena sambutan Nuzul al-Quran di laman Facebook beliau, malam ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga bekas Perdana Menteri menyeru umat Islam agar menggunakan peluang itu untuk melipatgandakan amalan yang dituntut seperti solat fardu berjemaah, solat tarawih, qiamullail di masjid atau surau serta bersedekah terutama kepada golongan yang memerlukan.

Muhyiddin berkata, sesungguhnya amalan tersebut sangat dituntut dan dijanjikan ganjaran besar oleh Allah SWT.

“Selain menghayati dan mengambil iktibar daripada peristiwa Nuzul al-Quran ini, marilah kita sama-sama memanfaatkannya dalam kehidupan seharian. Semoga kita memperoleh keberkatan daripadanya.

“Saya juga berdoa semoga kita semua diberi kesihatan dan dipermudahkan Allah untuk menunaikan ibadah sepanjang Ramadan ini, insya-Allah,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here