Tiada inisiatif diambil siasat entiti palsu AABAR – Saksi

0
215

BEKAS Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Azmi Tahir hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak mengambil sebarang inisiatif untuk menyiasat ketulenan dua entiti palsu yang menerima dana yang besar daripada anak syarikat 1MDB iaitu 1MDB Energy Holdings Limited (1MEHL) pada 2014.

Azmi, 48, yang menjadi CFO dari 2012 hingga 2017, berkata beliau tidak menjalankan sebarang siasatan berhubung perkara itu kerana tidak diarah untuk berbuat demikian oleh Lembaga Pengarah meskipun beliau adalah penandatangan berwenang 1MEHL.

Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata beliau hanya mengetahui tentang syarikat palsu terbabit pada 2015 semasa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Kedua-dua entiti palsu itu dikenali sebagai Aabar Investments PJS Limited, dengan satu daripadanya diperbadankan di Kepulauan Virgin British dan satu lagi diperbadankan di Seychelles.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perbicaraan bekas Perdana Menteri itu berhubung penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Wan Aizuddin: Adakah anda bersetuju dengan saya bahawa terdapat perbezaan besar alamat Aabar Investment PJS Ltd dan Aabar sebenar? Azmi menjawb, “Ya. Ia berbeza.”

Wan Aizuddin: Tidakkah anda menyedari perbezaannya ketika melihat dokumen terbabit sebelum itu?

Azmi: Tidak. Tiada siapa yang membangkitkannya. Kami mempunyai peguam, pegawai bank dan pegawai lain… Kira-Kira 40 mata meneliti dokumen itu tetapi tiada siapa yang membangkitkannya. 

Kepada soalan lain, saksi itu berkata beliau pada dasarnya mengikuti arahan timbalannya iaitu Terence Geh Choh Heng kerana percaya arahan itu adalah daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan Najib.

Wan Aizuddin: Anda mengikut arahan Terence tetapi antara anda dan Terence, jawatan anda adalah lebih tinggi? 

Azmi: Ya, di atas kertas beliau adalah timbalan saya, kami bekerja secara silo selaras dengan arahan Jho Low.

Mahkamah sebelum ini mendengar bahawa 1MDB meminjam sebanyak US$975 juta daripada Deutsche Bank AG namun ia tidak pernah digunakan untuk membayar balik ‘opsyen Aabar.’

Kira-Kira US$175 juta daripada pinjaman penyambung itu sebaliknya disalurkan kepada Aabar BVI manakala US$681 juta kepada Aabar Seychelles pada September 2014.

Pada hari pertama perbicaraan, pendakwaan berhujah bahawa ia akan membuktikan sebahagian daripada dana yang disalurkan kepada dua entiti palsu Aabar pada 2014 telah didakwa dimasukkan ke dalam akaun Najib iaitu dalam jumlah berasingan dalam paun sterling yang bersamaan dengan RM4,093,500 dan RM 45,837,485.70.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung pada Rabu.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here