Media perlu dedah lebih banyak kejayaan penduduk luar bandar – Mahdzir Khalid

0
225

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mengharapkan media dapat memberikan lebih fokus dalam mendedahkan lebih banyak kejayaan penduduk di kawasan luar bandar di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, antara kejayaan boleh diketengahkan adalah program Kampung Sejahtera yang memberi banyak kelebihan untuk meningkatkan pendapatan serta ekonomi penduduk.

“Menerusi program Kampung Sejahtera ini mereka (penduduk luar bandar) mempunyai infrastruktur jalan dan kemudahan internet yang baik serta berkelajuan tinggi.

“Seperti di FELDA pula, kita ada Pusat Internet Desa. Kemudahan internet berkelajuan tinggi adalah asas yang sangat penting untuk menjadi penghubung masyarakat luar bandar.

“Inilah antara usaha yang sedang kita laksanakan dan bawa kepada penduduk di luar bandar,” katanya ketika berucap sempena program Semarak Kasih Ramadan KPLB bersama Berita Harian di Padang Terap, malam tadi.

Lebih 300 penduduk FELDA Lubuk Merbau menghadiri majlis berbuka puasa sempena program yang berlangsung di perkarangan Masjid Al Barakah, di sini.

Program bermula seawal jam 7 pagi apabila penduduk bersama kakitangan KPLB bergotong-royong menyediakan juadah seperti bubur lambuk, gulai batang pisang dan nasi daging.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here