Tentera Rusia terdedah radiasi

0
432

TENTERA Rusia dikhuatiri terdedah kepada radiasi selepas mereka menguasai kawasan sekitar tapak loji janakuasa nuklear Chernobyl sejak empat minggu lalu, kata pegawai Ukraine.

Kenderaan yang digunakan tentera Rusia juga berkemungkinan meningkatkan debu radioaktif dan menjejaskan kesihatan askar yang mengorek parit di kawasan teruk dicemari, menurut agensi nuklear Ukraine, Energoatom.

Loji janakuasa itu, yang juga tapak bencana nuklear terburuk dunia pada 1986, dirampas semula oleh pasukan tentera Ukraine pada Khamis lalu, selepas Rusia berundur dari kawasan utara ibu kota Kyiv.

“Kesemua peralatan di loji janakuasa Chernobyl masih berfungsi. Sistem kawalan dan pemantauan radiasi juga masih berfungsi,” kata ketua loji, Valery Seida, dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, memetik laporan Reuters, katanya askar mungkin terdedah kepada radiasi kerana kawasan yang mereka duduki menunjukkan bacaan kadar radiasi tinggi.

“Debu tebal yang naik ke udara disebabkan kenderaan mereka dan hama radioaktif yang terkandung di dalamnya boleh memasuki rongga askar Rusia menerusi paru-paru mereka dengan mudah,” kata Seida.

Ukraine dalam pada itu menafikan ia melancarkan serangan udara terhadap depoh bahan api di bandar Belgorod kelmarin, dengan Kremlin bimbang tindakan itu boleh menjejaskan rundingan damai.

Pegawai keselamatan tertinggi Kyiv menafikan bertanggungjawab atas dakwaan berkenaan.

Menurut Kementerian Pertahanan Russia, dua helikopter Ukraine menyerang kemudahannya di Belgorod, terletak kira-kira 35 kilometer dari sempadan dengan Ukraine selepas terbang memasuki negaranya pada altitud rendah sekitar jam 5 pagi waktu Moscow.

Serangan dikatakan menyebabkan kebakaran sehingga beberapa mangsa terpaksa dipindahkan.

Namun, pada lewat hari yang sama, Datuk Bandar Belgorod, Anton Ivanov, berkata bomba sedang memadamkan saki-baki terakhir api dalam kebakaran itu.

“Tidak ada ancaman ke atas nyawa manusia dan kesihatan. Semua penduduk boleh kembali ke rumah masing-masing,” katanya dalam satu hantaran secara dalam talian.

Di pihak Ukraine, pegawai keselamatan tertingginya menolak tuduhan membabitkan serangan udara terhadap Russia sejak Moscow melancarkan pencerobohan bermula 24 Februari lalu.

Belgorod adalah satu daripada hab logistik utama Russia untuk perang.

“Ada beberapa alasan mereka berkata kami yang melakukannya tetapi menurut maklumat diperoleh, ini tidak benar,” kata Setiausaha Majlis Keselamatan Ukraine, Oleksiy Danilov.

Terdahulu, jurucakap Kementerian Pertahanan, Oleksandr Motuzyanyk, berkata beliau tidak akan mengesahkan atau menafikan peranan Ukraine.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here