Penghormatan tertinggi buat U.K’s

0
296

SEBUT sahaja lagu Di Sana Menanti Di Sini Menunggu, Pahit Akan Manis dan Bila Diri Disayangi pasti nama kumpulan U.K’s akan terbayang dalam ingatan.

Mereka bukan sahaja pernah menjadi antara kumpulan paling popular 1990-an tetapi juga dalam masa yang sama lagu-lagu yang pernah dirakamkan masih menjadi pilihan kebanyakan stesen radio hari ini.

Menyambut ulang tahun ke-25, ada sesuatu yang menarik ingin dipersembahkan oleh U.K’s apabila kembali menggabungkan Amir selaku vokalis, Denil (gitar), Olley (bass) dan Amirul (dram) dalam sebuah konsert di Istana Budaya tidak lama lagi.

“Seperti yang kita semua sudah sedia maklum, beraksi di Istana Budaya adalah impian setiap artis rakaman dan peluang seperti ini tidak harus dilepaskan U.K’s.

“Peluang beraksi di Istana Budaya dapat membuktikan lagi pencapaian dan tanda aras yang lebih tinggi dalam kerjaya muzik kami selama ini.

“Saya percaya konsert ini memang cukup dinantikan peminat-peminat setia yang selama ini membesar dengan lagu-lagu U.K’s,” kata Amir mewakili rakan-rakan yang lain.

Menyorot kembali perjalanan kumpulan ini, mereka merupakan anak didik komposer Saari Amri dan berwal dengan nama Ukays sebelum bertukar menjadi U.K’s.

Dekad 90-an menyaksikan banyak kumpulan popular muncul seperti Exist, Slam, Visa dan Damansutra namun mereka ketika itu berjaya menempatkan diri untuk berada pada landasan yang betul.

Sepanjang penglibatan dalam dunia rakaman, mereka telah menghasilkan
tujuh album studio termasuklah Tinggal Irama (1989), Mencari (1992) dan Bisa Berbisa (1994).

Turut dirakamkan Tajam Menikam (1995), Panas Berpanjangan (1996), Cuma Aku Yang Hidup (1997) serta Pijar Kasmaran (2000).

Album Bisa Berbisa menjadi album paling laris dijual dengan jumlah 400,000 unit di pasaran tempatan manakala album Tajam Menikam (1995) pula paling laris dijual di Indonesia apabila mencatatkan angka 700,000 unit.

Apabila diberikan penghormatan untuk melakukan konsert di Istana Budaya, sudah pasti perkara tersebut memberikan kegembiraan buat dirinya secara peribadi.

Namun dalam masa yang sama ia memberikan cabaran apabila mereka terpaksa memilih 25 buah lagu sahaja untuk konsert selama dua jam.

Pastinya perkara berkenaan sukar untuk dilakukan memandangkan mereka mempunyai puluhan lagi lagu hits yang sering kali diminta oleh peminat apabila melakukan persembahan.

“Sejak awal lagi kami dah senaraikan 30 buah lagu. Bila dapat tahu konsert hanya berlangsung selama dua jam, jadi kami terpaksa pilih 25 buah lagu sahaja.

“Ia agak memeningkan sebab kami banyak lagu-lagu hits yang peminat suka dengar. Tetapi apa-apa pun pilihan lagu itu perlu disesuaikan dengan segmen dan repertoire.

“Apa yang saya boleh janjikan kepada peminat yang akan hadir pada malam konsert itu nanti ialah, mereka akan ‘terbuai’ dengan pilihan lagu yang kami pilih,” katanya lagi.

Konsert U.K’s Reunion 25 Tahun dianjurkan oleh Mac Training Sdn Bhd bersama RCD Concepts Sdn Bhd akan berlangsung 17 dan 18 Jun hadapan.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here