Anuar Zain teruja santuni pelarian Syria 

0
272

TERPANGGIL untuk membantu mereka yang berhadapan dengan kesukaran hidup, penyanyi Anuar Zain bakal ke Lubnan bagi menyertai misi bantuan di sana tidak lama lagi.

Anuar yang tersentuh hati dengan nasib yang dialami sebahagian besar pelarian Syria menyertai misi bantuan yang dianjurkan oleh Syria Care Ramadan bermula 10 April hadapan.

Dia bersama rombongan dijangka berada di sana selama lapan hari bagi menyantuni dan mengagihkan makanan serta ubat-ubatan kepada pelarian tersebut.

“Bila sudah puas bekerja kadang-kadang terdetik dalam hati adakah semuanya sudah cukup? Adakah kita sudah membatu orang lain dan memberikan mereka kesenangan?

“Dengan adanya Syria Care, saya terpanggil menjayakan misi ini dan kerana keadaan hidup mereka di sana yang sangat susah.

“Mereka sukar untuk mendapatkan makanan, tiada tempat tinggal yang selesa selain soal emosi,” katanya dalam satu sidang media baru-baru ini.

Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Lelaki Ini ini lagi, dia teruja menyertai misi bantuan yang sudah dianjurkan sebanyak 13 kali.

Ditambah dengan kehadiran bulan Ramadan yang bakal disambut tidak lama lagi, Anuar berharap apa yang dirancang akan berjalan baik di sana nanti.

“Niat saya ke sana hanyalah untuk memberikan sokongan emosi kepada mereka selain merasai sendiri pengalaman berada di tempat mereka.

“Kita akan datang membawa bantuan termasuklah makanan dan sebagainya. Sudah pasti ini akan memberikan pengalaman buat orang baharu seperti saya,” tambahnya lagi.

Melalui misi bantuan kali ini, Syria Care menyasarkan dana sebanyak RM225,000 bagi membantu lebih kurang 1,000 keluarga di daerah bergolak berkenaan.

Bagi mereka yang ingin turut serta menyumbang boleh memilih set iftar bermula dengan harga RM15 atau memilih pek makanan kering berjumlah RM150 melalui donate.syriacare.org.my/order/form/oderfood/anuarzain. – SB


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here