Kesan Covid-19 punca Wooi Yik ‘hilang kekuatan’

0
502

KESAN COVID-19 masih dirasai pemain beregu lelaki negara, Soh Wooi Yik yang seperti ‘hilang kekuatan’ sekali gus memberi impak terhadap prestasi permainannya.

Wooi Yik yang bergandingan dengan Aaron Chia akur apabila tewas di pentas separuh akhir Terbuka Switzerland di tangan pilihan keempat dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 20-22, 21-13, 8-21 dalam tempoh 51 minit pagi tadi.

Kekalahan menyaksikan pasangan dari Indonesia yang berada di ranking kesembilan dunia itu memperoleh kemenangan pertama mereka daripada empat pertemuan dengan Aaron-Wooi Yik.

Menerusi satu hantaran di laman sosial, Wooi Yik mengakui kesan wabak berkenaan memberi tamparan besar buat dirinya selepas turut tersingkir di pusingan kedua di Seluruh England namun akur sebagai pemain, dia harus melaluinya dengan tabah.

“Sejak muda, saya sudah berada dalam industri ini dan kadangkala saya terlebih fikir, kadangkala saya rasa seperti cemas dan kadangkala hilang arah. Merasai seperti kekuatan dan segala-galanya dalam badan saya hilang selepas menghidap virus berkenaan.

“Saya tahu, saya mungkin berada dalam masalah besar pada penyertaan kali ini tetapi saya tahu, saya tak boleh menoleh ke belakang. 

“Mungkin ada yang berkata, kenapa tidak berehat tetapi kadangkala kehidupan bukan saja membabitkan diri saya sendiri, terdapat beberapa keadaan, tanggungjawab dan perkara yang mungkin tidak diketahui ramai.

“Ada waktunya saya seperti tidak dapat bernafas, semua orang mempunyai takdirnya. Saya menghargai rakan seperjuangan, memberikan segala-galanya yang termampu untuk membolehkan saya kembali menemui rentak.

“Saya akan kembali seperti keadaan seperti dulu tetapi saya tidak pasti berapa lama ia akan mengambil masa, berikan saya ruang masa dan saya akan kembali bangkit di prestasi sebenar,” katanya menurut laporan BH Online.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here