Sabah, Selangor paling tinggi langgar SOP tahun ini

0
248

SABAH dan Selangor menjadi dua negeri yang dikesan paling tinggi melanggar prosedur operasi standard (SOP) di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021, setakat tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia merangkumi 623 kompaun telah dikeluarkan di Sabah dan 505 kompaun di Selangor antara minggu epidemiologi (ME) 1 hingga 11 tahun 2022.

Secara keseluruhan, kata beliau, sebanyak 2,338 tawaran kompaun individu dan 506 kompaun bagi pertubuhan menjadikan 2,844 kompaun telah dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) sepanjang ME 1 hingga ME 11 tahun ini.

Dr. Noor Hisham berkata, terdapat peningkatan pengeluaran kompaun di Selangor dan Perak terutama pada ME 11 berbanding ME sebelumnya.

“Selangor merekodkan peningkatan kompaun kepada 132 pada ME 11 berbanding hanya 27 pada minggu sebelumnya manakala Perak mencatatkan 67 kompaun dikeluarkan berbanding 24 pada ME 10.

“Pada masa sama, hanya 25 kompaun dikeluarkan di Melaka menjadikan negeri terendah dalam pelanggaran SOP setakat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas secara terperinci, Dr. Noor Hisham berkata, terdapat empat jenis kesalahan utama yang dikesan sepanjang tahun ini.

Kesalahan paling tinggi yang direkodkan, katanya adalah individu gagal menggunakan aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis dengan 1,740 kes telah dicatatkan.

Selain itu, sebanyak 236 kes dikesan gagal memakai pelitup muka dan 55 lagi tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

Satu lagi jenis kesalahan utama pula adalah gagal menyediakan peralatan bagi merekod butiran diri iaitu sebanyak 12 kes.

Dr. Noor Hisham memaklumkan, selain kompaun yang dikeluarkan oleh KKM, sebanyak 9,294 kompaun individu dan 293 kompaun kepada pertubuhan turut dikeluarkan beberapa agensi lain.

Kata beliau, KKM turut mengambil tindakan dengan menutup premis mengikut Seksyen 18 Akta 342 bagi mengawal penularan jangkitan COVID-19.

“Sejumlah 954 premis sudah ditutup di mana 913 daripadanya adalah premis perniagaan diikuti 40 kilang dan satu premis tapak pembinaan.

“Melalui data-data yang ditunjukkan KKM, jelas bahawa tahap kepatuhan masyarakat, pemilik premis dan juga pertubuhan perbadanan masih boleh dipertingkatkan lagi.

“Ini adalah penting bagi mengurangkan risiko penularan serta membantu memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

“Syabas dan terima kasih diucapkan kepada mereka yang patuh kepada SOP yang ditetapkan. Dengan mematuhi SOP, anda berjaya mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dan berjaya melindungi diri anda, keluarga, serta masyarakat sekeliling anda daripada bahaya COVID-19,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here