RAFIZI Ramli yang telah mengesahkan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti Mei ini dilaporkan sedang membentuk ‘cai’ bagi mengisi beberapa jawatan penting dalam parti tersebut.
Menurut laporan Malaysiakini yang memetik sumber dalaman parti, ‘cai’ atau pasukan Rafizi itu akan melibatkan beberapa nama besar dalam PKR untuk bertanding merebut beberapa jawatan penting.
Antara jawatan yang dikenalpasti termasuk empat calon Naib Presiden; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK); Ketua Wanita; Timbalan AMK dan Timbalan Ketua Wanita.
Beberapa nama yang disebut-sebut akan bertanding mewakili ‘cai’ Rafizi untuk jawatan Naib Presiden adalah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Timbalan Ketua Penerangan PKR iaitu Manivanan Gowin.
“Dua Naib Presiden iaitu Nurul Izzah dan Lih Kang berada dalam pasukan Rafizi untuk mempertahankan jawatan itu.
“Nik Nazmi dan Manivanan pula merupakan dua lagi calon untuk melengkapkan empat jawatan Naib Presiden semasa pemilihan parti.
“Bagi sayap Wanita, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail pula diangkat sebagai calon Ketua Wanita dengan Senator Fadhlina Sidek bagi jawatan Timbalan Ketua Wanita.
“Ketua AMK Pulau Pinang, Fahmi Zainol pula akan bergandingan dengan ADUN Rawang, Chua Wei Kiat untuk jawatan Ketua dan Timbalan Ketua AMK,” katanya sumber itu kepada Malaysiakini.
Rafizi sebelum ini pernah bertanding bagi merebut jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan tahun 2018 namun tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu diramalkan bakal dicabar Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk jawatan kedua tertinggi parti tersebut.
Menurut Malaysiakini, Rafizi akan mengumumkan senarai ‘cai’ atau pasukannya dalam masa terdekat.
15 Mac lalu, Rafizi mengumumkan ‘keluar daripada persaraan’ dengan mengesahkan bakal bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti Mei ini.
Beliau memaklumkan keputusan untuk kembali kerana ada desakan daripada PKR dan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, ramai rakyat biasa juga mendesak beliau kembali ke gelanggang politik. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.