Kalau penyeludup ketum sanggup beri pandangan, apa salahnya? – MB Kedah

KERAJAAN negeri Kedah akan mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pihak terlibat bagi mendapatkan pandangan dan pendapat mereka sebelum mengusulkan cadangan kepada kerajaan Persekutuan untuk membenarkan pengeksportan ketum ke Thailand.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, antara pihak yang dimaksudkan termasuklah agensi penguatkuasaan, pekebun serta penanam ketum.

Malah menurut beliau, sesi libat urus itu juga mungkin akan turut disertai penyeludup ketum sekiranya ada dalam kalangan mereka yang mahu memberi pandangan.

“Kalau dapat jumpa orang yang seludup ketum itu, mungkin ada sesi libat urus bersama mereka. Kalau mereka sanggup beri pandangan, apa salahnya?

“Semua itu kemudiannya akan kita kemukakan kepada kerajaan Persekutuan. Kita akan buat ikut peraturan dan tak salah untuk kita buat cadangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas berakhir Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Alor Setar, hari ini.

Minggu lalu Muhammad Sanusi memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan mengusulkan kepada kerajaan Persekutuan untuk membenarkan Kedah mengeksport ketum ke Thailand.

Selain membolehkan kerajaan memperolehi cukai eksport, langkah itu katanya akan turut membantu mengatasi masalah penyeludupan ketum yang berleluasa di sempadan Malaysia Thailand.

Ketika ini Thailand membenarkan penggunaan ketum secara terbuka dengan tumbuhan tersebut turut digunakan dalam bidang perubatan di negara jiran itu.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri Kedah menyerahkan sepenuhnya segala keputusan kepada kerajaan Persekutuan untuk membuat pertimbangan terhadap perkara tersebut.

“Kalau kerajaan Persekutuan buat keputusan bahawa cadangan ini tak dapat dipertimbangkan, maka kita akurlah dan kita hadapilah suasana yang sememangnya sedang terjadi pada masa ini,” katanya lagi. – SB