Shila Amzah buang sengketa, mohon maaf pada pihak media 

0
327

BUANG yang keruh, ambil yang jernih. Begitu juga tindakan yang diambil oleh penyanyi Shila Amzah apabila tampil membuat permohonan maaf secara terbuka pada Ahad.

Dia memohon maaf kepada pengamal media setelah beberapa tahun bersengketa dengan sekumpulan wartawan membabitkan isu saman fitnah.

Dalam temubual Melodi yang disiarkan di TV3, Shila menganggap apa yang dilaluinya merupakan pengalaman ‘ngeri’ dan membazir apabila terpaksa naik turun mahkamah ketika itu.

“Sejujurnya saya cuma dapat kebebasan untuk buat apa yang saya nak dalam tiga tahun ini. Apa yang berlaku lepas, saya nak cakap itu bukan keputusan saya. Saya bukan menidakkan jasa ibu bapa saya membesarkan dan melindungi saya.

“Saya pun berada dalam tertekan dalam ruang peribadi saya. Memang kita saling memerlukan. Kalau saya boleh balikkan waktu, saya takkan pergi sampai mahkamah. Saya takkan bazir duit dan bazir masa saya.

“Saya habiskan jumlah yang saya boleh beli rumah dengan turun naik mahkamah. Ia satu pembaziran masa dan wang,” katanya menerusi program berkenaan.

Menganggap apa yang berlaku saling berkaitan, dia mengaku tidak mempunyai kebebasan untuk menyelesaikan konflik tersebut.

Tambahnya, keputusan untuk menyaman bukan dibuat olehnya sebaliknya dia masih dikawal oleh keluarga ketika itu.

“Memang keputusan itu bukan keputusan saya. Semestinya saya masih muda ketika itu, saya beremosi, tak boleh keluar, tak boleh kawan dengan sesiapa yang saya nak,” katanya lagi.

Bagi menjernihkan keadaan, dia mahu isu bermusuhan itu segera dijernihkan dan tidak mahu menyimpan dendam kepada sesiapa.

Tambahnya, sebagai seorang ibu, dia mahu menjalani kehidupan dengan baik dan memohon maaf sekiranya kesalahan tersebut bermula daripadanya atau pihak lain.

“Sekarang ini saya menjalani kehidupan untuk hari ini, kita tak tahu apa akan berlaku esok. Saya tak nak berdendam dengan orang. Kalau boleh sesiapa yang terguris hati perasaan, seandainya bermula dari saya atau orang lain, saya mohon maaf.

“Ketika itu pandangan saya mengenai kehidupan berbeza, saya harap sangat ini tak berpanjangan. Kita semua nak hidup tenang sahaja dan semoga menjadi pengajaran dan iktibar untuk anak seni dan kawan-kawan yang lain.

“Ini adalah satu titik hitam paling buruk dalam hidup. Saya harap kita dapat berbaik semula kerana kita tak tahu esok ada lagi tak untuk kita. Kalau tak nak berkawan lagi pun, jauh di hati saya anda dapat memaafkan saya,” jelasnya lagi.

Tidak mahu tergesa-gesa dalam bertindak, penyanyi yang berusia 32 tahun ini lebih selesa sekiranya proses berbaik-baik itu datang secara semulajadi.

Dia juga berharap, kehadiran Ramadan yang bakal menjelma ini dapat membuang segala kekeruhan yang pernah terjadi antaranya dan pihak media.

“Saya tak mahu hidup dalam penyesalan, tak nak apa-apa berlaku terhadap mereka yang tersinggung benda itu, ia buat hidup saya tak ‘best’.

“Saya terkilan apa yang berlaku, kalau boleh pusing masa semula, tak nak pergi ke mahkamah. Saya tak boleh bayangkan mereka yang terkesan dan doakan yang baik-baik untuk semua,” katanya.

Terdahulu, pada 2015 Shila menyaman akhbar Kosmo mengenai laporan konsert yang disertainya ditaja oleh syarikat judi. Dia bagaimanapun kalah dalam kes berkenaan dan diperintah membayar RM20,000 kepada akhbar berkenaan.

Rentetan daripada itu, hubungannya dengan pihak media juga mula bermasalah sehinggalah memohon maaf pada Ahad. – SB


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here