Nizam Laksamana luah kekecewaan

0
494

KECEWA dengan apa yang berlaku kepada industri ketika ini, penyanyi lama Nizam Laksamana meluahkan rasa ralat apabila beberapa isu panas terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Sedangkan, pihak yang selalu melakukan kerja-kerja amal dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang perhatian daripada mereka yang sepatutnya.

Buktinya, apa yang dilakukan olehnya selama ini kurang mendapat sokongan sedangkan dia dan beberapa rakan artis yang lain bertungkus lumus mahu membantu mereka yang memerlukan.

“Industri hiburan makin ‘pening’ sejak akhir-akhir ini. Yang buat salah terus diberikan perhatian dan yang buat amal langsung tidak dipedulikan.

“Saya sendiri kecewa dengan perkara itu. Kenapa mesti terus memberikan rumah kepada orang yang membuat onar di dalam industri dan dalam masa yang sama mengangkat mereka.

“Buat salah, padam video dan minta maaf. Tapi mereka terus diberikan ruang. Ini tak sepatutnya berlaku dalam industri. Yang rosak nanti nama orang yang tak bersalah sebab dianggap sama sahaja seperti mereka,” luahnya.

Dalam pada itu, Nizam yang kini giat mempromosikan Showcase Amal Keluarga Malaysia- Artis Legenda 3.0 turut meluahkan rasa kecewa apabila tidak mendapat sebarang liputan seperti mereka yang melakukan kontroversi.

Jelasnya, dia sering kali memuat naik hebahan mengenai perkara tersebut tetapi langsung tidak mendapat respon daripada stesen TV dan pihak lain yang sepatutnya membantu dirinya.

“Tak ada stesen pun yang panggil untuk tolong promosikan showcase amal ini. Mungkin sebab saya orang lama yang tak boleh nak naikkan rating mereka.

“Kalau mereka beri ruang sama rata kepada semua, lebih baik. Tapi saya tak pernah mengalah dan akan terus berjuang untuk melakukan persembahan amal ini,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, penyanyi yang popular dengan lagu Gugurnya Bunga Cinta ini sempat meluahkan rasa kesal terhadap beberapa persatuan seni yang langsung tidak mengendahkan dirinya.

Ini termasuklah Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA) yang langsung tidak bertanyakan khabar.

“Tiada siapa pun yang menelefon bertanyakan khabar apa yang sedang saya lakukan ketika ini. Saya selalu berharap mereka akan menghubungi dan bercerita tentang perkara ini.

“Kalau mereka mahu bantu, itu kan lebih baik. Setidaknya kami boleh bekerjasama dan melihat apa potensi yang ada sempena penganjuran kali ini. Tapi tak ada siapa pun peduli,” luahnya kecewa.

Tidak patah semangat dengan apa yang berlaku, Nizam menganggap semua ini merupakan ujian untuknya terus kuat bagi merealisasikan impian membantu pesakit kanser yang memerlukan.

Dia yang giat mencari peminat untuk membeli tempat duduk sempena showcase itu nanti beruntung kerana mendapat sokongan padu daripada rakan artis yang terlibat sama.

“Terima kasih kepada rakan-rakan artis yang percaya kepada saya. Mereka banyak membantu dan tidak pernah berkira soal wang ringgit.

“Saya harap lebih ramai lagi insan di luar sana yang ambil peduli dan membantu kami mengumpul dana untuk diagihkan kepada pesakit yang memerlukan,” luahnya lagi.

Showcase Amal Keluarga Malaysia- Artis Legenda 3.0 bakal diadakan pada 4 Jun hadapan di Hotel Bangi Resort. Ia disertai oleh beberapa artis popular termasuklah Datuk Hattan, Ezad Lazim, Zarul Umbrella dan Tam Spider.


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here