27 Pati ‘kantoi’ selepas tiga jam mendarat 

0
242

SEKUMPULAN 27 pendatang tanpa izin (Pati) yang menyeludup masuk ke Malaysia ’kantoi’ apabila diberkas polis selepas tiga jam masuk secara haram melalui jalan laut, di Banting, Selangor, pagi semalam.

Mereka ditahan pasukan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih di Pantai Gold Coast Morib, Banting.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Semenyih Superintendan Rizal Mohamed berkata, kesemua pati terbabit dikesan ketika pasukan berkenaan sedang melakukan rondaan dan pemantauan pada 7 pagi.

Kita berjaya menahan 22 lelaki dewasa warga asing dan lima perempuan warga asing berusia lingkungan 21 hingga 54 tahun yang sedang bersembunyi di kawasan semak berhampiran pantai berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati kesemua individu yang dipercayai tiba pada 4 pagi gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Mereka dipercayai masuk untuk bekerja di negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan iaitu jalan laut dengan menggunakan bot,” katanya dalam satu kenyataan.

Rizal berkata, kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, Banting untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua tangkapan menjalani ujian saringan Covid-19 bagi mencegah penularan virus dalam kalangan pesalah dan juga pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

“Saya menyeru masyarakat agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada PDRM berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here