Shuib sebak nama isteri diabadikan di rumah anak yatim

0
384

TIADA apa yang dapat diluahkan melainkan rasa syukur oleh pelawak Shuib apabila nama isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin diabadikan dalam ruang solat sebuah rumah anak yatim.

Dia yang hadir sendiri ke rumah anak yatim Baitul Sakinah As-Shariff, Pelabuhan Klang, Selangor bersama keluarganya berbesar hati dapat ke sana kembali dan melihat sendiri keadaannya.

Dedah Shuib, Siti Sarah pernah menghulurkan sumbangan bagi pembinaan ruang solat dan dewan serbaguna di rumah anak yatim tersebut kira-kira sebulan sebelum isterinya meninggal dunia.

“Hari ini kali kedua datang ke Baitul Sakinah As-Shariff tetapi bersama mentua dan anak-anak. Kali pertama datang ke sini pada 25 Julai 2021 bersama arwah isteri tercinta.

“Arwah terlalu seronok bertemu anak-anak yatim di sini. Kemudian dia diberi peluang untuk memberi sumbangan bagi menyiapkan mussolla (ruang solat) dan dewan serbaguna yang ketika itu baru 70 peratus siap,” katanya.

Namun begitu, hasrat untuk melihat ruang solat dan dewan tersebut tidak kesampaian selepas dia disahkan meninggal dunia akibat Covid-19 tahun lalu.

“Arwah nak sangat menyumbang sebab mahu lihat ruang solat dan dewan ini untuk kegunaan anak yatim serta orang Kampung berhampiran tetapi hari ini, bila semuanya sudah siap, dia sudah pergi selama-lamanya.

“Tetapi rezeki arwah, dia diberi penghormatan apabila nama ruang solat dan dewan ini meletakkan nama Sarah serta digabungkan dengan dua nama lain iaitu Musolla dan Dewan Serbaguna Sarah Muslim al-Attas,” katanya lagi.

Perkongsian tersebut juga mengundang sebak ramai apabila Shuib mendedahkan lokasi tersebut merupakan tempat terakhir mereka ‘dating’ berdua sebelum pergi buat selama-lamanya.

Terdahulu, Sarah meninggal dunia akibat Covid-19 pada 9 Ogos tahun lalu dan sempat melahirkan anak bongsunya, Ayash Affan pada 6 Ogos secara pembedahan selepas ditidurkan.

Melalui perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, dan Ariq Matin, 7 dan Ayash. – SB


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here