WHO nasihatkan Ukraine musnahkan patogen berbahaya di makmal

0
580

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menasihati Ukraine supaya memusnahkan patogen membawa ancaman tinggi, yang disimpan di makmal kesihatan awam negara itu.

Agensi bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu memberitahu Reuters, semalam, langkah terbabit bertujuan mengelakkan ‘sebarang potensi berlaku kebocoran’ yang akan mengakibatkan penularan penyakit.

Pakar keselamatan bio memberi amaran, pencerobohan tentera Russia dan serangan bom ke atas bandar di Ukraine turut meningkatkan risiko kebocoran patogen penyebab penyakit, sekiranya ada fasiliti berkenaan yang musnah.

Ukraine dilaporkan mempunyai makmal kesihatan awam yang menjalankan penyelidikan bagi menangani ancaman penyakit berbahaya terhadap manusia dan haiwan, termasuk COVID-19.

Makmal berkenaan menerima sokongan daripada Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah dan WHO.

Dalam jawapan melalui e-mel kepada soalan Reuters, WHO berkata, pihaknya bekerjasama dengan makmal kesihatan awam Ukraine sejak beberapa tahun lalu bagi menggalakkan amalan keselamatan yang membantu mencegah ‘pelepasan patogen secara tidak sengaja ataupun sengaja.’

“Sebagai sebahagian daripada tugas itu, WHO amat mengesyorkan Kementerian Kesihatan di Ukraine dan badan bertanggungjawab yang lain supaya memusnahkan patogen membawa ancaman tinggi, bagi mencegah sebarang potensi berlaku kebocoran,” katanya.

Bagaimanapun, WHO tidak menyatakan bila pihaknya menyarankan perkara itu, selain tiada memberi butiran mengenai jenis patogen atau toksin yang disimpan di makmal Ukraine.

Di samping itu, WHO juga tidak menjawab soalan mengenai sama ada cadangan berkenaan dipatuhi.

Pegawai Ukraine di Kyiv serta kedutaan negara itu di Washington belum memberi maklum balas kepada permintaan untuk komen, setakat ini.

Rabu lalu, jurucakap Kementerian Luar Russia, Maria Zakharova, dilaporkan mengulangi dakwaan lama bahawa AS terbabit operasi makmal perang bio di Ukraine – tuduhan yang telah berulang kali dinafikan oleh Washington dan Kyiv.

Zakharova dipetik sebagai mendakwa, dokumen ditemui pasukan tentera Russia di Ukraine menunjukkan ‘cubaan kecemasan untuk menghapuskan bukti program biologi ketenteraan’ dengan memusnahkan sampel makmal.

Namun, Reuters tidak dapat mengesahkan maklumat beliau itu secara bebas. Bagaimanapun, kenyataan WHO itu tiada merujuk kepada perang bio.

WHO berkata, agensi itu menggalakkan semua pihak supaya bekerjasama dalam ‘pembuangan sebarang patogen secara selamat dan mendapatkan bantuan teknikal yang diperlukan.”

Katanya, WHO menawarkan bantuan dari segi bimbingan teknikal dan koordinasi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here