Radzi Jidin jelaskan bagaimana Felda dirosakkan Najib

0
420

MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin pada malam Khamis menyeru orang ramai untuk membaca Laporan Kertas Putih Felda yang dikeluarkan pada 2019 untuk mengetahui bagaimana Felda telah dirosakkan oleh Datuk Seri Najib Razak ketika beliau menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dahulu.

Menurut beliau, sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 dan pembentangannya di Parlimen pada 10 April 2019, apa yang sebenarnya berlaku kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tidak diketahui ramai kerana ia telah ditutup dengan baik oleh barisan UMNO dan Barisan nasional (BN).

Beliau memberitahu, sebelum Felda diganggu-gugat, operasi badan itu amat mudah; ia mempunyai pelbagai jenis aset termasuk tanah seluas 450 hektar di seluruh negara dan 390,000 hektar tanah milik sendiri yang diusahakannya sendiri.

“Hasil daripada tanah yang diusahakan Felda sendiri telah digunakan untuk faedah dan kebajikan peneroka Felda tanpa mengusik tanah milik mereka.

“Namun Najib telah membawa keluar tanah seluas 390 hektar bersama kilang-kilang milik Felda keluar dan diletakkan di bawah FGV Holdings Berhad (FGV) yang disenaraikan di dalam Bursa Malaysia pada 2012 pada harga RM4.55 sesaham namun pada hari ini harga seunit sahamnah berada pada RM2 sahaja,” kata beliau pada Majlis Ucapan Umum PN di pusat gerakan pdm PN di padang Endau pada malam Khamis.

Apa yang berlaku jelas Radzi, penyenaraian FGV dalam Bursa Malaysia menyebabkannya kehilangan kuasa atas tanah-tanah dan kilang-kilang miliknya itu dan menyebabkan keuntungan badan itu merudum dan ia mula mencatatkan kerugian tahunan berbilion ringgit.

Keadaan itu berbeza dengan sebelum penyenaraiannya di mana Felda mencatatkan purata keuntungan tahunan berjumlah RM3 bilion.

“Pulangan yang diperolehi oleh badan itu hanyalah sewaan berjumlah RM248 juta ringgit setahun dan 15 peratus.

“Oleh kerana Felda tidak mempunyai kuasa ke atas polisinya timbul isu mengenai peratusan perahan minyak sawit yang rendah tidak seperti mana sebelum FGV mengambil alih kilang-kilang Felda dan menyebabkan ramai yang tertekan memikirkan apakah masa depan badan itu dan menyebabkan peneroka terseksa,” jelas beliau.

Tambah beliau lagi, pada 2007 hutang Felda hanya RM100 juta tetapi pada 2017 hutangnya telah meningkat kepada RM12.1 billion.

Jelas beliau keadaan itu berlaku ekoran pembelian pelbagai jenis aset yang tidak mendatangkan hasil oleh FGV sehingga menyebabkan ia terpaksa membuat pelbagai jenis pinjaman.

Razdi selanjutnya memberitahu, perkara pertama yang dilakukan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila menjawat jawatan Perdana Menteri bersama-sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed ialah meminta beliau yang pada ketika itu Timbalan Menteri Kewangan menyediakan kertas putih mengenai permasalahan Felda.

Arahan itu kata beliau bertujuan untuk membolehkan Muhyiddin mencari penyelesaian untuk membantu memulihkan Felda.

Hasilnya, kedua-dua mereka telah membuat keputusan untuk membeli kembali saham-saham Felda di dalam FGV.

Kesan daripada gerakan itu saham Felda yang pada awalnya hanya 30 peratus dalam FGV telah berjaya ditingkatkan menjadi 82 peratus.

“Penguasaan saham Felda dalam FGV telah membolehkan badan itu kembali mendapatkan kembali keseluruhan keuntungan daripada aktiviti pengkomersialan tanah miliknya dan kilang-kilangnya.

“Penguasaan itu turut berkuasa penuh ke atas semua polisi dalam syarikat berkenaan seperti hasil perahan minyak sawit,” jelas beliau.

Menurut Radzi beliau mengambil keputusan untuk jelaskan perkara ini untuk menjawab dakwaan UMNO dan BN yang mengatakan merekalah sebenarnya hero penyelamat Felda. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here