Rosmah pernah mengadu masalah disiplin Rizal Mansor – bekas Pengarah FLOM

0
325

BEKAS Pengarah Bahagian First Lady Of Malaysia (FLOM), Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod pada Rabu memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau pernah menerima aduan daripada Datin Seri Rosmah Mansor mengenai masalah disiplin Datuk Rizal Mansor.

Siti Azizah, 72, bagaimanapun berkata, beliau tidak pernah mengambil tindakan ke atas Rizal sebaliknya menasihatinya supaya menjaga disiplin bersesuaian dengan tugas sebagai pegawai media di Pejabat Perdana Menteri ketika itu.

“Kita orang dewasa, jadi bila kita tidak berdisiplin saya nasihatkan dia (Rizal). Kita bekerja di pejabat pegawai tertinggi kerajaan dalam negara dan disiplin diri amat penting,” katanya ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram pada prosiding membela diri Rosmah terhadap tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau berkata, Rizal sering bertindak tanpa merujuk kepada ketuanya iaitu Setiausaha Akhbar Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad, dan jarang berada di pejabat di Putrajaya selain tidak mahir menulis teks ucapan.

Saksi pembelaan kedua itu berkata, selaku pegawai media, tugas Rizal adalah untuk mempertahankan Rosmah namun beliau tidak boleh bekerja sendirian kerana kenyataan media berbaur politik mesti mendapat kelulusan daripada Tengku Sharifuddin supaya tidak bercanggah antara satu sama lain.
 
Menjawab soalan Sri Ram, Siti Azizah berkata, Rizal dinaikkan pangkat beberapa kali meskipun mempunyai masalah disiplin susulan sistem kenaikan yang membolehkan beliau naik secara automatik.

Sri Ram: Kontrak Rizal dilanjutkan sebanyak enam kali, beliau juga dinaikkan pangkat sebanyak dua kali iaitu daripada N48 kepada N52 dan turut dianugerah gelaran ‘datuk.’

Siti Azizah: Saya tahu mengenai gelaran ‘datuk’ apabila membacanya di surat khabar.

Sri Ram kemudian menyoal sama ada Rizal adalah “seorang pekerja yang tidak berguna” dan Siti Azizah berkata beliau tidak bersetuju dengan klasifikasi itu.

“Saya tidak nafikan Rizal membuat kerjanya sebagai pegawai media serta mewujudkan hubungan yang baik dengan pihak media sesuai dengan latar belakangnya sebagai bekas petugas di agensi media tempatan.

“Namun beliau tidak boleh menulis teks ucapan walaupun beberapa kali saya minta dia cuba menulisnya. Saya akui bukan semua orang boleh menulis teks ucapan. Adakala saya tulis sendiri atau bagi orang lain tulis,” kata saksi terakhir pembelaan itu.
 
Rosmah pada mulanya dibicarakan bersama dengan Rizal yang berdepan empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah bagi pihak isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu berhubung projek terbabit.

Bagaimanapun pada 8 Januari 2020, mahkamah membebaskan Rizal selepas pendakwaan menarik balik semua pertuduhan terhadapnya dan beliau kemudian menjadi saksi pendakwaan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 5 April untuk hujahan kedua-dua pihak selepas pembelaan menutup kesnya hari ini.

Pada 18 Februari lepas, Rosmah, 70, diperintah membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin melalui Rizal, sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi sekolah luar bandar di Sarawak secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan. – Bernama
 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here